“Bad Parenting”, Nurul Zahid Teruk Dikecam Di Twitter

SHAH ALAM – Anak kepada Presiden UMNO, Nurul Hidayah Ahmad Zahid menerima kecaman hebat di Twitter gara-gara memuat naik video anaknya yang berusia 9 tahun memberi ucapan berbaur amaran di laman Instagram beliau. 

Rata-rata netizen di Twitter menyifatkan anak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai ‘ibu yang teruk’ kerana mengheret anak kecilnya demi kepentingan politik. 

Netizen berpendapat, adalah sesuatu yang sangat tidak wajar melibatkan anak kecil dalam isu politik, apatah lagi apabila membiarkan mereka menuturkan perkataan yang tidak sesuai bagi peringkat umur seperti itu. 

Nurul Hidayah baru-baru ini memuat naik video anaknya yang berusia 9 tahun ‘memberi amaran’ di Instagram sebagai membantah pendakwaan yang dikenakan ke atas Zahid.

Dalam video itu, kanak-kanak perempuan itu berkata: “Saya akan buat hidup kamu tak stabil, saya akan buat kamu menyesal seumur hidup”.

Posting di video berkenaan turut disusuli dengan kapsyen #solidarityforgrandpa.

Cucu kepada Ahmad Zahid itu juga dilihat memakai T-shirt mirip pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan Nurul Hidayah itu turut mengundang teguran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Menerusi Twitter, Yeoh berkata sebagai ibu, Nurul Hidayah sewajarnya melindungi anaknya di internet.

Dalam pada itu, Yeoh menggesa orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan video itu yang sudah pun dihujani kecaman di internet. 

Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid didakwa atas 45 kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 melibatkan lebih RM100 juta.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan mantan timbalan perdana menteri itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta bagi semua pertuduhan.-SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.