Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata, ada beberapa fakta yang tidak disebut oleh Guan Eng dalam pengumuman tersebut antaranya Akaun Hasil Disatukan diaudit secara tahunan bukan bulanan.

Shahril Sufian  berkata, Guan Eng turut tidak menyebut bahawa baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan kekal sebanyak RM11.86 billion setiap tahun kewangan berakhir (31 Disember) sejak tahun 1996 dan tidak pernah berubah.

Shahril Sufian turut mendakwa Guan Eng juga tidak menyatakan tarikh akhir bagi individu menghantar borang taksiran cukai adalah pada 30 April dan 30 Jun setiap tahun.

“Ini bermakna hasil kerajaan bagi tempoh antara April sehingga Julai akan meningkat berkali ganda berbanding bulan-bulan lain memandangkan ini juga tempoh yang sama untuk menjelaskan cukai pendapatan.

“Kutipan dari 31 Mei 2018 sehingga 31 Ogos 2018 berjumlah RM73.58 billion menunjukkan bahawa Kerajaan sememangnya mampu mengutip hasil setiap bulan untuk menampung perbelanjaan mengurus selepas 9 Mei 2018, isu baki Akaun Hasil Disatukan tidak timbul kerana kemampuan kerajaan mengutip hasil,” kata Shahril Sufian.

Shahril Sufian juga berkata, tahun pilihan raya 2004, 2008, 2013 baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan kekal sama pada hujung tahun membukti tidak ada perbelanjaan berlebihan pada tahun pilihan raya.

Guan Eng semalam berkata, lebihan yang diperoleh bagi tempoh Mei hingga Ogos lalu berjaya dicapai hasil tindakan-tindakan tegas kerajaan dalam mengawal perbelanjaan pengurusan dan pembiayaan kos secara berhemat.

Guan Eng berkata, amalan pengurusan kewangan kerajaan yang baik dan berhemat berjaya menghasilkan lebihan sebanyak RM3.25 bilion di dalam baki akaun semasa.

Katanya, peningkatan tujuh kali ganda dalam Akaun Hasil Disatukan dari Mei ke Ogos lalu menjelaskan cara kerajaan mendapatkan dana yang memadai untuk memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar termasuk membayar gaji dan pencen bulanan sebanyak RM8 bilion.

“Kalau rasa fakta ini tak betul, Menteri Kewangan boleh tunjukkan item perbelanjaan mengurus Januari hingga Mei 2018 dibandingkan dengan Januari hingga Mei 2017 untuk buktikan perbelanjaan berlebihan,” kata Shahril Sufian. – UTUSAN ONLINE