Undi Pakatan Seperti Undi Setuju Kezaliman Mahathir – Hadi

Tun Mahathir Mohamad merupakan orang di sebalik pelbagai tindakan yang menyebabkan “kerosakan sistem negara”, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Abdul Hadi menyokong gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan bekas perdana menteri itu kini umpama menyetujui “kezaliman” lampau.

“Selayaknya Mahathir bertaubat kerana dialah penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya,” kata Presiden PAS itu dalam wawancara bersama sebuah akhbar harian Jumaat, lapor AgendaDaily.

Menurut Hadi, Mahathir “tidak jujur untuk selamatkan Malaysia” kerana hanya menumpukan usaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

“Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, PAN, PPBM adalah mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir,” katanya.

PAS bukan sebahagian daripada gabungan empat parti itu, yang kini menunggu kelulusan supaya dapat bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang menggunakan satu logo.

Hadi turut meluahkan keyakinan PAS akan menerima sokongan kuat pada PRU akan datang.

“Orang Melayu bersama PAS,” katanya.

“Kita perlu sedar undi teras politik Malaysia adalah Melayu. Mana-mana parti yang mahu jadi pemerintah mesti dapat undi Melayu dan kita lihat PPBM dan PAN tidak dapat menarik undi Melayu kepada Pakatan Harapan, cuma PAS perlu juga melibatkan bukan Islam yang masih tidak fanatik perkauman.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.