Najib Mahu SJKC Tingkatkan Penguasaan Bahasa Melayu

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu penguasaan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) ditingkatkan untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

Beliau berkata ini penting kerana bahasa Melayu adalah medium komunikasi yang mampu mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat dan seharusnya dikuasai semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan bangsa.

“Kita akan membina lebih banyak SJKC jika ada permintaan dan kapasiti bersesuaian, baik di bandar mahupun luar bandar. Namun kita juga menggalakkan mereka untuk menerima dan mempromosi bahasa Melayu kerana itu bahasa kita.

“Bahasa Melayu penting kerana kita boleh menggalakkan perpaduan. Saya mahu memberikan penekanan terhadap perkara ini. Apabila kita membina lebih banyak sekolah Cina, tolong berikan perhatian terhadap bahasa Melayu sama,” katanya sewaktu menjawab soalan pada sesi dialog TN50: Sidang Kemuncak Belia Cina 2017 di Wisma Huazong, Serdang yang turut dihadiri Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mengulas mengenai cadangan pembinaan lebih banyak SJKC, Najib berkata perkara tersebut kini dalam perbincangan antara Kementerian Pendidikan, Liow dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Menyentuh mengenai perpaduan kaum, Najib berkata negara memerlukan lebih banyak “moments of unity” (detik-detik perpaduan) seperti sokongan kepada atlet sukan negara dalam menjamin keharmonian berterusan dan mengelakkan isu-isu sensitif yang boleh mengganggu-gugat keamanan yang telah dicapai.

Jelasnya usaha itu tidak boleh dipikul kerajaan dan agensi kerajaan semata-mata tetapi memerlukan penglibatan sektor swasta dalam memainkan watak penting menghidupkan semangat perpaduan tersebut.

Mengenai isu nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar yang menguncup 88.4 peratus tahun ini, Najib menjelaskan perkara itu sentiasa diambil berat oleh kerajaan yang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikannya diurus dengan baik.

“Kita sedang meneliti perkara itu dan satu caranya ialah meningkatkan pendapatan isi rumah. Sebab itulah saya bertegas dalam pelaksanaan dasar gaji minimum kerana kita perlukannya. Saya juga berusaha menggalakkan syarikat di sektor swasta untuk mengetepikan sedikit keuntungan bagi menaikkan gaji pekerja mereka.

“Kami juga akan cuba memudahkan pinjaman mikro agar masyarakat tidak meminjam daripada along (ceti haram) kerana saya tahu mereka boleh bertindak agresif. Kita boleh atasi masalah ini (mengawal paras hutang isi rumah) dengan syarat kita perlu didik masyarakat akan bagaimana menguruskan kewangan mereka,” katanya.

Mengenai inflasi dan kos sara hidup, Najib berkata kadar inflasi berada pada paras antara 3.0 dan 3.4 peratus manakala kos sara hidup di Malaysia jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara-negara ASEAN.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan tidak mengambil mudah tentang isu itu dan akan mengumumkan lebih banyak inisiatif bagi membantu mengurangkan beban rakyat dan perinciannya akan diumum semasa pembentangan Bajet 2018 minggu depan.

Semasa mengakhiri sesi itu, perdana menteri dengan rendah hati mengakui kerajaan tidak sempurna dan mempunyai banyak kelemahan namun pentadbiran sedia ada sedang melakukan yang terbaik untuk rakyat seperti mana yang dibayangkan oleh pemimpin leluhur.

 

“Lihatlah juga pada perkara-perkara baik yang telah kami capai. Jika kita bekerja bersama, kita boleh jadikannya lebih baik, Malaysia akan ke tahap lebih tinggi jika kita bekerjasama.

“Kami tidak akan jejaskan apa yang telah dipersetujui oleh pengasas kita untuk negara ini dan mereka mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang seimbang, sederhana, harmoni. Sebagai perdana menteri kalian, saya akan teruskan dasar-dasar yang sederhana, progresif dan saya percaya pada keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.