KJ Kaji Semula Bidaan Sukan Komanwel 2022

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan bersedia mengkaji semula rancangan membida penganjuran temasya Sukan Komanwel 2022 selepas kejayaan negara menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

Justeru, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau akan membincangkan rancangan itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau berpendapat Malaysia perlu melihat  kepada penganjuran temasya sukan yang lebih besar.

Walaupun sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah menyatakan pendirian untuk tidak membuat bidaan, namun beliau ingin mengkaji semula perkara itu memandangkan Malaysia mampu menganjurkan sukan itu selepas kali pertama  menganjurkannya pada 1998.

‘Sukan Olimpik mungkin terlalu besar (menganjurkan) buat waktu ini dan Sukan Asia pula kosnya terlalu tinggi…manakala yang masih boleh dipertimbangkan adalah Sukan Komanwel,” katanya pada sidang media mengenai program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) di sini, lapor Bernama.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan MOM bahawa Malaysia tidak akan membida penganjuran Sukan Komanwel 2022 walaupun tarikh bidaan dilanjutkan hingga 30 Nov ini.

Sukan Komanwel 2018 akan diadakan di Gold Coast, Austrlalia.

Ditanya mengenai pandangan segelintir bekas pemain kebangsaan bahawa kemerosotan prestasi pasukan bola sepak negara disebabkan pemain bintang yang diambil kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya menghiasi bangku simpanan, Khairy berkata ia adalah pandangan pihak yang iri hati dengan pasukan itu.

Katanya, walaupun pemain bintang terbabit menjadi pemain simpanan, namun pemain JDT terdedah kepada perlawanan berprestij yang tidak ditandingi pasukan lain seperti Piala AFC.

“Adakah jika pasukan kebangsaan Sepanyol kalah, kita salahkan Barcelona atau Real Madrid? Sepatutnya kita harus menggalakkan lebih banyak kelab menjadi seperti JDT,” katanya.

Khairy berkata peminat perlu memberi sokongan kepada pasukan negara dan tidak  mengharapkan kejayaan yang terlalu pantas.

Semalam, bekas pemain kebangsaan era 70-an, Datuk Jamal Nasir Ismail mendakwa antara punca kemerosotan prestasi dan ranking skuad kebangsaan disebabkan penghijrahan pemain bintang tempatan ke skuad JDT.

Bdeliau mendakwa pemain tonggak negara yang begitu menyerlah sebelum menyertai skuad Harimau Selatan itu seakan hilang sentuhan apabila kembali beraksi bersama skuad negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.