JDT Vs Perak, Penyokong Perlu Patuhi SOP Keselamatan

JOHOR BAHRU – Penyokong yang menyaksikan aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara JDT dan Perak di Larkin perlu mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi kawalan keselamatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata beberapa garis panduan dan SOP telah ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Antaranya penyokong dilarang memiliki, membawa atau membakar apa jua bahan letupan yang termaktub di bawah Akta Bahan-bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) serta Akta Bahan letupan 1957 (Akta 207) sama ada di dalam atau di luar stadium,” katanya dalam satu kenyataan, semalam, lapor Bernama.

Antara lain penyokong dilarang menganjurkan perarakan, perhimpunan atau seumpamanya, selain dilarang membawa senjata berbahaya atau barang-barang terlarang yang menjurus kepada kesalahan jenayah.

Penyokong juga dilarang membawa minuman keras ke dalam stadium, melakukan provokasi hingga mencetuskan pergaduhan dan vandalisme pada harta benda di stadium.

Beliau berkata penyokong harus menjaga tingkah laku, moral, budaya dan etika serta semangat  kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.

Penyokong juga dinasihatkan mematuhi arahan yang diberikan oleh petugas  pasukan polis dari semasa ke semasa bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.