18,000 Kes Keganasan Terhadap Wanita Di Pahang

Hampir 18,000 kes keganasan terhadap wanita direkodkan di Pahang sepanjang tempoh 2010 hingga 2016, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai keganasan terhadap wanita, antaranya melibatkan jenayah rogol, cabul, sumbang mahram dan kelakuan seks luar tabie.

“Antara inisiatif diambil ialah kempen mengajar wanita bagaimana untuk menjaga keselamatan dan literasi undang-undang supaya mereka tahu hak dan tindakan boleh dilakukan jika menjadi mangsa,” katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Shahaniza berkata demikian selepas melancarkan pra sambutan Hari Wanita peringkat Pahang di Pusat Transformasi Bandar (UTC), yang menyaksikan beliau turut meletakkan penanda di kaunter khas untuk wanita di beberapa agensi kerajaan di kawasan berkenaan.

Antara agensi itu ialah Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pejabat Pos dan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata kempen kesedaran keganasan wanita bukan sahaja tertumpu kepada golongan wanita dewasa, namun akan turut membabitkan pelajar universiti dan sekolah kerana mereka juga berisiko menjadi mangsa.

Shahaniza berkata kerajaan Pahang juga telah mewujudkan portal khas yang boleh digunakan sebagai platform untuk membuat aduan berkaitan masalah gangguan jenayah seksual, iaitu Pahang Cakna.Com.

“Portal ini dilancarkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Kita faham ada antara mangsa atau individu yang tahu mengenai keganasan berasa takut atau malu untuk membuat aduan kerana bimbang identiti mereka diketahui pelaku.

“Portal ini menjadi medium terbaik untuk mereka mengemukakan aduan supaya tindakan lanjut dapat dilakukan,” katanya.

 

Selain itu, Shahaniza menyeru supaya ibu tunggal di Pahang supaya mendaftar dengan Pejabat Pembangunan Wanita negeri bagi memperkasakan golongan itu termasuk kursus yang dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan.

“Setakat ini, 22,726 orang telah mendaftar namun kita merasakan masih ramai ibu tunggal di negeri ini belum mendaftar dan dianggarkan setiap daerah mungkin mempunyai 2,000 hingga 3,000 ibu tunggal,” katanya.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.