Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh Boleh Dapatkan Rawatan Di Hospital KKM Terpilih

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan FPP adalah singkatan bagi perkhidmatan Full Paying Patient (FPP) atau Pesakit Bayar Penuh dimana rakyat yang berkemampuan untuk membayar kos penuh perubatan mempunyai pilihan untuk mendapatkan penjagaan rawatan kepakaran yang tinggi di hospital KKM yang terpilih.

 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, fokus perkhidmatan FPP ini diberikan kepada pesakit yang di rujuk daripada hospital swasta ke hospital kerajaan kerana kelebihan kepakaran tertentu di hospital kerajaan, sedia untuk memilih skim FPP tanpa subsidi kerajaan.

 

“FPP telah dimulakan pada tahun 2007 sebagai pakej retensi bagi Pegawai Perubatan Pakar KKM dan untuk mengurangkan penghijrahan mereka ke hospital swasta, di mana kekurangan Pegawai Perubatan Pakar di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering menjejaskan pemberian perkhidmatan kepakaran dan sub kepakaran di hospital KKM,”katanya menerusi satu kenyataan.

 
Beliau berkata, perkhidmatan FPP ini bukanlah bermaksud penswastaan perkhidmatan penjagaan kesihatan di hospital-hospital kerajaan.

 

Katanya, perkhidmatan penjagaan kesihatan sedia ada yang disubsidi kerajaan akan tetap diteruskan dan dimantapkan lagi melalui pelbagai teras transformasi sistem kesihatan oleh KKM.

 

“Bagi perkhidmatan perubatan bersubsidi tinggi ini, pesakit sememangnya dikenakan sedikit bayaran bersubsidi bergantung kepada kelas rawatan dan kemudahan yang disediakan kepada pesakit di mana caj ini adalah sangat rendah dan berpatutan kerana ianya masih terus disubsidi kerajaan,”ujarnya.

 

Tambah kenyataan itu lagi, antara kelebihan-kelebihan tertentu di bawah skim ini adalah seperti pesakit boleh memilih Pegawai Perubatan Pakar untuk merawatnya.

 

“Pesakit mendapat kemudahan giliran untuk mendapat rawatan daripada Pegawai Perubatan Pakar; dan boleh menikmati beberapa kemudahan di wad eksekutif, kelas satu atau yang setaraf.

 

“Semua kemudahan yang akan diberi adalah bergantung kepada sumber, bidang kepakaran dan fasiliti sedia ada. Pesakit yang telah mendaftar sebagai pesakit FPP akan dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi kerajaan bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan Pegawai Perubatan Pakar yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan FPP di hospital-hospital kerajaan yang terpilih,”katanya.

 

Tambahnya, sebahagian hasil daripada pendapatan yang diperolehi oleh kerajaan melalui FPP akan diberikan kepada Pegawai Perubatan Pakar yang berdaftar di bawah perkhidmatan ini. Kadar caj bagi perkhidmatan perubatan untuk pesakit FPP adalah tertakluk kepada Akta Fi Pesakit Bayar Penuh (2007).

 

“Kaedah pembayaran bil FPP boleh dibuat secara: tunai, kad kredit, kad debit atau draf bank. Surat jaminan (guarantee letter atau GL) syarikat swasta dan insuran perubatan yang mempunyai perjanjian persefahaman bersama Bahagian Kewangan KKM bagi perkhidmatan FPP juga boleh digunapakai untuk pembiayaan kos rawatan.

 

“KKM sentiasa komited untuk terus menyediakan dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat dan yakin bahawa Pegawai Perubatan Pakar di KKM akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat serta memastikan perkhidmatan FPP ini tidak menjejaskan pemberian perkhidmatan kepada pesakit awam yang lain. Adalah diharapkan inisiatif ini dapat meningkatkan motivasi dan minat Pegawai Perubatan Pakar di KKM untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang mereka di fasiliti kesihatan KKM,”ujarnya.-SuaraTV

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.