Jamal Hanya ‘Perang Mulut’, Kata KPN Khalid

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan tindakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia Datuk Jamal Md Yunos yang mengisytiharkan perang terhadap Bersih 5.0 sebagai ‘perang mulut’.

 

“Setakat kenyataan melancarkan perang, pada saya ia hanyalah ‘war of words’, jadi terpulang pada anda untuk menerimanya.

 

“Tetapi kalau ada laporan, kita akan melihat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Diploma Eksekutif Sains Siasatan Sesi 2015/2016 di Maktab PDRM, katanya lapor Bernama.

 

Sementara itu, Khalid berkata sekiranya kedua-dua pihak iaitu penganjur Bersih 5.0 dan NGO diterajui Jamal ingin mengadakan perhimpunan pada bulan depan, mereka perlu memohon kebenaran berhimpun terlebih dahulu.

 

“Mereka harus memohon permit berhimpun dahulu. Jika tidak mereka akan diambil tindakkan dan polis tidak akan memilih mana-mana pihak dalam mengambil tindakan,” katanya.

 

Jamal yang ditahan pada Rabu lalu, dibebaskan dari Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan jaminan polis petang semalam.

 

Sebaik sahaja dibebaskan, Jamal berkata gerakan Baju Merah akan mengadakan perhimpunan besar-besaran menentang Bersih 5.0 yang dijangka diadakan pada November di Dataran Merdeka.

 

Pada majlis itu, seramai 45 pegawai kanan polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang terdiri daripada 34 lelaki dan 11 wanita berjaya menamatkan kursus mereka selama tiga semester yang bermula Mac tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.