Video: Tiga Wanita Terlibat Pergaduhan Di Kelantan Ditahan Reman

KOTA BHARU –  Polis Kelantan telah mengenalpasti dan menahan tiga wanita berusia lingkungan 20-an yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan baru-baru ini selepas video insiden tersebut menjadi viral di media sosial.

 

Laporan dipetik dari Harian Metro menyebut, salah seorang wanita tersebut ditahan dua hari lalu di Padang Tembak, manakala dua yang lain ditangkap di rumah mereka di Taman Sari dan Wakaf Mek Zainab awal pagi tadi.

 

Kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa.

 

Dalam rakaman video yang viral sebelum ini, seorang wanita dibelasah teruk termasuk ditendang di bahagian badan serta kepala oleh dua wanita lain dalam kejadian yang dikatakan berlaku di Bachok, Kelantan.

 

Beberapa sumber tidak rasmi di Facebook mendakwa kejadian berpunca dari perebutan teman lelaki sementara sumber lain mendakwa ia disebabkan penipuan perniagaan atas talian.

 

Video tersebut yang dikongsikan di kebanyakan laman Facebook mengundang kecaman netizen yang menyelar aksi samseng tidak berperikemanusiaan yang dilakukan dua wanita muda dalam video itu. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.