TPM Mahu Pasukan Kemahiran Malaysia Lakar Kejayaan Peringkat Antarabangsa

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pasukan kemahiran Malaysia melakar lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa dan bukan setakat menjadi jaguh kampung.

 

 

Beliau berkata peserta sudah membuktikan kemampuan mereka di peringkat tempatan, justeru mereka perlu meningkatkan pencapaian di peringkat ASEAN dan dunia.

 

 

Sehubungan itu, beliau yang akan mempengerusikan mesyuarat Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016 mahu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Belia dan Sukan bekerjasama untuk membuat persiapan bagi pasukan Malaysia menghadapi pertandingan kemahiran itu di Kuala Lumpur tahun depan.

 

 

“Gandingan ini terutamanya dalam isu penajaan bagi memastikan para peserta kemahiran akan membawa kemenangan pingat emas dalam pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2015 di sini, hari ini.

 

 

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, pengiktirafan tertinggi untuk individu berkemahiran di Malaysia, kepada penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas Mohammad Tarmizi Abu Hassan.

 

 

Mohammad Tarmizi, 22, merupakan peserta paling cemerlang dalam pertandingan Worlds Skills Malaysia Belia (WSMB) dalam bidang “information network cabling” dan dipilih mewakili Malaysia ke ASEAN Skills Competition 2016 Kuala Lumpur dan World Skills Competition Abu Dhabi 2017.

 

 

Ahmad Zahid berkata Malaysia buat pertama kalinya melakar sejarah dalam penyertaan kemahiran peringkat antarabangsa melalui kejayaan Airul Firham Che Amran yang membawa pulang pingat gangsa dalam bidang dandanan rambut pada Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) di Sao Paulo, Brazil tahun ini.

 

 

“Walaupun bidang dandanan rambut pada lazimnya merupakan bidang diceburi wanita, namun kemenangan ini perlu dimantapkan lagi dengan kombinasi tenaga peserta wanita dan lelaki bagi membantu Malaysia benar-benar cemerlang di WSC 2017 di Abu Dhabi,” katanya.

 

 

Bagi memastikan kejayaan di Abu Dhabi, Ahmad Zahid berjanji akan berusaha mendapatkan peruntukan khas serta menawarkan hadiah wang tunai pada kadar lebih tinggi sekiranya peserta Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas.

 

 

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan pingat dan sijil kepada kontinjen Malaysia di WSC 2015 dan WSMB.

 

 

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, TimbalanMenteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.