Khalid Ibrahim Tidak Sokong Usul Tidak Percaya Terhadap PM

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak sokong usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Beliau berkata, adalah lebih baik ahli-ahli Parlimen berbahas mengenai bajet dalam menentukan tadbir urus baik negara dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini.

 

“Itu terpulang kepada sesiapa nak kemukakan. Saya tidak terfikir perkara itu boleh dapat kemenangan.

 

“Sebab itu lebih baik kita berbincang bagaimana menentukan belanjawan dapat diurus dengan baik dan tunjukkan perkara yang boleh diperbetulkan dalam pembangunan negara,” katanya kepada The Rakyat Post.

 

Pembangkang sebelum ini bertelagah apabila Ahli Parlimen PKR-Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian membawa usul tersebut secara bersendirian tanpa memaklumkan rakan pembangkang yang lain.

 

Tindakan tersebut mendapat reaksi negatif daripada DAP. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kemudiannya mengarahkan Loy Sian menarik semula usul tersebut.

 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudiannya mengumumkan beliau akan membawa usul tersebut dan menegaskan tetap akan membentangkan usul tersebut dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

 

“Kalau dia (pembangkang) hendak (boleh guna ketika bajet),” kata Khalid ketika ditanya alternatif selain daripada usul tidak percaya untuk singkir Najib.

 

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada beliau akan sokong atau tidak Bajet 2016.

 

“Saya belum tengok bajet lagi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang.

 

Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2016 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.