Isu 1MDB Tidak Jejaskan Minat Pelabur Asing

Isu-isu tempatan yang sedang hangat diperkatakan termasuklah 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak pernah menjejaskan minat pelabur untuk menanam modal di negara ini.

 

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

 

Jelasnya, selagi fundamental ekonomi Malaysia masih kukuh ditambah pula dengan polisi-polisi kerajaan yang jelas, minat pelabur tidak pernah berkurangan untuk melabur di negara ini.

 

“Berdasarkan pengalaman-pengalaman yang lalu serta ‘roadshow’ yang pernah kami adakan, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan ada pelabur mahu menarik balik atau mengecilkan pelaburan mereka di sini.

 

“Minat untuk melabur terus meningkat. Terbaharu, semasa di Milan, Itali kami berjaya memeterai projek lebih RM300 juta di Johor dan kami mempunyai beberapa lagi pemeteraian pelaburan yang masih di dalam perancangan dengan Jepun.

 

“Seperti yang saya katakan, keyakinan pelabur masih ada. Sebab itulah pelaburan di negara ini masih memberangsangkan tetapi kita masih perlu berhati-hati dengan beberapa cabaran yang mendatang.

 

“Memang isu-isu domestik sedang hangat dibincangkan tetapi mengikut pengalaman MIDA, asalkan fundamental ekonomi kukuh dan polisi-polisi kerajaan adalah jelas, itu sudah mencukupi untuk membuatkan para pelabur gembira,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini semalam.

 

Pada separuh pertama tahun ini, MIDA telah meluluskan kira-kira RM113 bilion pelaburan dan optimis mencapai sasaran untuk meluluskan pelaburan sebanyak RM148 bilion menjelang akhir tahun ini.

 

Dalam pada itu, Azman berharap Bajet 2016 akan memasukkan agenda membantu mengurangkan kos melakukan perniagaan kepada syarikat-syarikat terutama apabila persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

 

“Biarpun ketidaktentuan ekonomi ini bersifat sementara tetapi sebagai sebuah kerajaan yang memfokus kepada rakyat, agenda untuk mengurangkan kos melakukan perniagaan terutamanya kepada syarikat tempatan adalah sesuatu yang sangat penting.

 

“Di samping itu, MIDA akan terus meningkatkan promosi pelaburan dengan memberi penekanan untuk membawa lebih banyak pelaburan berkualiti bagi menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.