Cabaran Wajib Lulus Bahasa Inggeris SPM

MELAKA – Rancangan menjadikan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencetuskan kebimbangan berhubung kesannya kepada pelajar luar bandar terutamanya berkaitan dengan faktor hambatan dan kekurangan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

 

Beliau berkata dalam usaha melaksanakan langkah itu, Malaysia memerlukan sistem pendidikan yang berkembang dalam memastikan negara benar-benar bersedia melaksanakan syarat wajib lulus tersebut.

 

 

Menurut beliau syarat wajib lulus itu mempunyai beberapa kelemahan terhadap pelajar luar bandar yang tidak bersedia kerana isu dan cabaran situasi di kawasan luar bandar.

 

 

“Kementerian bimbang sistem ini memberi kesan kepada pelajar luar bandar.  Saya percaya pembelajaran yang baik perlu diberi penekanan terlebih dahulu sebelum kita memutuskan untuk meneruskan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM,” katanya di sini, hari ini.

 

 

Teks ucapan beliau pada The 4th International Conference on English Language Teaching (ICELT) 2015 dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rahim Abu Bakar.

 

 

Ismail Sabri berkata bagi membaiki pembelajaran Bahasa Inggeris di luar bandar, guru-guru perlu menggunakan cara yang lebih kreatif dan baru untuk mengajar bahasa itu.

 

 

Menurut beliau para guru perlu mempelbagaikan bahan pengajaran bagi menjadikan proses pembelajaran lebih menarik, bermotivasi dan lebih dekat kepada persekitaran pembelajaran-pengajaran.

 

 

“Kita tidak boleh menafikan peranan bahasa Inggeris, maka penting bagi kita sebagai negara membina persekitaran yang sesuai yang menyokong pembelajaran dan penggunaan bahasa itu.

 

 

“Ia bukan sekadar mendapatkan guru yang mahir dalam bahasa itu tetapi untuk menjadi lebih baik dan kreatif secara keseluruhan,” jelasnya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.