Video: Sekarang Ini Ramai Ustaz Yang ‘Gila Babi’ – Azhar Idrus

Kuala Lumpur – Mufti Kelantan mahu penganjur program ‘I Want To Touch A Dog’ dan umat Islam yang menyentuh anjing dalam majlis itu Ahad lalu, wajib bertaubat kerana dianggapnya mempersendakan hukum Allah.

Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata perbuatan menyentuh secara sengaja itu haram kerana anjing adalah najis mughallazah (najis yang berat) dan bertentangan dengan mazhab Syafie, lapor Sinar Harian hari ini.

“Jika dianjurkan oleh orang Islam, dia sebenarnya menghina hukum Allah dan boleh dianggap sebagai sindiran tajam terhadap kewibawaan umat Islam. Bertaubatlah,” katanya seperti dilapor akhbar itu.

“Memang sedih dengan gejala tidak sihat berlaku akhir-akhir ini. Lepas satu ada lagi yang lain ditimbulkan dengan sengaja dalam masyarakat kita,” katanya dipetik.

Namun menurut bekas Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza tindakan menyatakan haram bagi umat Islam untuk menyentuh atau memegang anjing merupakan satu kesimpulan hukum yang cetek.

Menerusi status terbarunya di laman Facebook, DrMaza.com yang bertajuk `Anjing Dan Isu Masyarakat Malaysia’, beliau menulis, berdasarkan pandangan ulama tersohor dan beberapa mazhab, menyentuh anjing hukumnya tidak haram.

Ekoran kenyataan kontroversi yang diberikan oleh Dr Maza itu, para pengguna medi sosial mula mengkritik dan menolak pandangan tersebut sambil menyifatkan ia merupakan pendekatan Islam Liberal.

Paling menarik mereka turut memuatnaikkan ceramah agama yang di sampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus yang mendakwa pandangan tersebut sebagai ‘gila babi’.

Sementara itu Utusan Malaysia pula menakrifkan program itu sebagai “jarum halus” menyebarkan liberalisme dengan memetik pandangan beberapa tokoh agama.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Tan Sri Abdul Shukor Hussin menyatakan tidak perlu ada fatwa atau hukum baru yang perlu diletakkan kerana jelas perbuatan itu haram kepada seluruh umat Islam.

Dalam laporan akhbar itu, beliau turut mempersoalkan motif penganjur mengadakan acara itu di Bandar Utama, Petaling Jaya hujung minggu lalu sekalipun beliau tidak menafikan anjing mempunyai kemuliaan tersendiri sebagai makhluk Allah.

Menurut beliau lagi, acara seumpama itu tidak bersesuaian diadakan di negara ini walau apa pun tujuannya.

“Apakah penganjur berbuat demikian kerama mahu mempromosikan fahaman liberalisme yang jelas akan menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan umat Islam negara ini?” kata beliau dipetik akhbar itu.

Turut mempersoalkan motif penganjuran kempen itu, pendakwah popular Kazim Elias pula berkata program sebegitu tidak boleh dipandang ringan kerana akan membawa bahaya lebih besar di samping melibatkan urusan ibadah.

“Mana boleh saja-saja bela, saja-saja hendak pegang. Sebab apa hendak pegang? Isu apa? Hendak jadikan anjing sebagai apa? Mula-mula pegang kemudian bela, kemudian masuk ke dalam rumah dan kemudian?

“Binatang mughallazah ini sama seperti babi. Lepas ini buat pula kempen pegang babi dengan melawat ke pasar babi dan kemudiannya melarat ke makan babi pula,” kata dipetik dalam satu lagi laporan.

Semenetara itu Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, Ahmad Fauzee Ahmad Shahar menyelar tindakan tersebut dan menggesa agar pihak berkuasa segera menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Saya bersetuju dengan pandangan dan pendapat beberapa tokoh agama yang menyifatkan penganjuran program tersebut mempunyai agenda lain serta bertujuan menghina Islam, ia tidak sepatutnya diadakan dan dihebahkan kepada masyarakat.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya dibiarkan, kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat dan kerajaan dan pihak berkuasa seharusnya memandang serius perkara ini bagi mengelakkan ia berulang di masa hadapan” ujarnya ketika di hubungi SuaraTV.

Seterusnya Ustaz Mohd Iqbal Parjin, 33 tahun yang merupakan penceramah agama yang diundang secara langsung dalam program ‘I Want To Touch a Dog’ mengakui tidak pernah bersetuju dengan aksi peluk,cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut.

Menurutnya penglibatannya dalam program itu adalah bertujuan untuk memberi perkongsian ilmu, setelah mendapat tahu program berkenaan telah mendapat izin dari pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Katanya menerusi perkongsian ilmu pada hari berkenaan, beliau juga ada menerangkan orang Islam tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu.

“Pada awalnya, penganjur program, Syed Azmi, menjemput saya untuk mengisi slot ilmu.

“Saya memenuhi jemputan ini, dan menjelaskan kepada yang hadir mengenai hukum-hakam yang jelas menurut mazhab Syafie, seperti yang terdapat dalam fatwa JAKIM.

“Saya merasakan ini adalah peluang yang baik untuk menyampaikan mesej Islam kepada orang Islam dan bukan Islam, dan Alhamdulillah sehingga kini mereka masih menghubungi saya untuk libertarian perihal Islam dengan lebih lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, menurutnya beliau juga tidak menyangka bahawa penglibatannya menjurus kepada perkara tidak betul seolah-olah beliau menyokong perbuatan itu.

“Saya difahamkan bahawa tempat perkongsian ilmu diasingkan dari tempat anjing-anjing berkumpul.

“Saya akui yang saya terlepas pandang bahawa program ini disalah tafsir malah diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk menggalakkan masyarakat Melayu awam bermesra-mesra dengan anjing tanpa sebab.

“Saya tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku seolah-olah saya yang menggalakkannya,” ujarnya lagi.

Tindakan Ustaz Iqbal yang terlibat secara langsung dengan program berkenaan pada Ahad lalu mendapat kecaman ramai pihak khususnya orang Islam yang menganggap beliau menggalakkan aktiviti sebegitu.

 

Baca: Pegang Anjing Haram Satu Kesimpulan Hukum Yang Cetek – Dr Maza

 

Baca: Mula-Mula Arak Dan Pegang Anjing, Lepas Ini Buat Kempen Babi – Ustaz Kazim

 

Baca: MAIS Sokong Penganjuran ‘I Want To Touch A Dog’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.