Pereka Fesyen Lagenda Meninggal Dunia

Connecticut – Pereka fesyen lagenda, Oscar de la Renta, meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Oscar didiagnosis menghidap penyakit kanser pada 2006, meninggal dunia di rumahnya di Kent, Connecticut, semalam.

Dia meninggalkan seorang balu Annette de la Renta dan anak angkatnya, Moises, lapor DailyMail.

Oscar menjadi terkenal selepas mereka fesyen untuk Jackie Kennedy pada awal 1960-an dan mencipta label fesyennya sendiri, beberapa tahun kemudian.

Rekaan terakhir Oscar adalah gaun pengantin untuk isteri George Clooney, Amal.

Rekaan Oscar menjadi kegemaran bintang Hollywood dan isteri-isteri Presiden seperti Nancy Reagan, Betty Ford dan Laura Bush.

Pereka fesyen itu juga sangat rapat dengan Hillary Clinton dan mereka pakaiannya untuk majlis pertama (sebagai isteri Presiden) pada 1997.
Pada Anugerah Majlis Pereka Fesyen Amerika Syarikat, bekas Setiausaha Negara itu menggelarkan Oscar sebagai ‘teman baiknya’ ketika menyerahkan anugerah Pelopor kepadanya.

Oscar membalas dengan memberitahu hadirin: “Beliau mungkin tidak suka saya mengatakannya tapi saya fikir beliau akan menjadi presiden AS akan datang.”

Oscar dilahirkan pada 1932 di Republik Dominica dan berpindah ke Madrid ketika berusia 18 untuk belajar melukis.

Bakatnya diasah oleh Cristobal Balenciaga dan kemudian dia berpindah ke Paris untuk bekerja dengan Lanvin.

Jun tahun lalu ketika berperang dengan kanser, dia berkata: “Buat masa ini saya sihat. Satu-satunya realiti dalam kehidupan adalah, anda dilahirkan dan anda akan mati.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.