Orang Cakap Saya Bersikap Diva, Buat Hal Sendiri – Aisyah

Kuala Lumpur – Ketika nama sedang mendaki kejayaan dan meningkat naik populariti, pasti ada sisi negatif yang mula bertandang. Aishah Ilias juga tidak terlepas daripada cerita kurang enak. Terbaharu, beliau dikatakan sudah bikin hal di set drama.

Tidak pula dijelaskan drama apa yang dilakonkannya. Tapi secara logik drama yang dimaksudkan ialah drama Cinta Ibadah, drama bersiri terpanjang yang disiarkan di Astro sejak September lalu dan masih belum selesai penggambarannya.

Ketika ini memang drama berkenaan yang sedang dilunaskan baki penggambarannya oleh Aishah.

Menurut ruang gosip itu, Aishah dikatakan sudah buat hal di set drama berkenaan. Lagak Aishah memang umpama diva dengan masalah disiplin seperti yang didakwa itu.

Ikuti komen Aishah mengenai cerita kurang enak itu.

“Saya memang terkejut dengan cerita ini. Tuduhan saya lewat ke set itu saya sendiri pelik kenapa boleh timbul. Saya sendiri cuba sedaya upaya datang awal ke lokasi penggambaran walaupun hari-hari ‘call time’ saya jam 7 pagi dan pulang paling awal jam 12 tengah malam.

“Kalau nak cakap tak cukup tidur dan rehat itu memang saya harus telan demi melunaskan baki penggambaran. Bayangkan saya pernah tidur dalam kereta kerana takut terbabas tidur dan lambat ke set penggambaran.

“Tapi saya tak nafikan pernah datang lambat ke set penggambaran tapi itu pun sekali dua dan bukannya selalu seperti yang disampaikan. Kalau saya lambat pun tak lebih daripada setengah jam,” katanya.

Aishah turut menjelaskan beliau tidak mempunyai masalah apatah lagi menimbulkan masalah di set penggambaran.

“Pelakon lama yang terbabit pun banyak memberi tunjuk ajar kepada saya, jadi macam mana saya boleh buat perkara seperti didakwa kononnya naikkan suara kepada pelakon senior. Saya layan semua dengan baik dan saya tahu di mana saya bermula.

“Saya di set penggambaran pun tak bercakap sangat sebab sibuk baca skrip yang memang panjang lebar. Dulu saya pernah terkena di set drama yang sama apabila orang cakap saya berlagak diva sebab buat hal sendiri.

“Bayangkan saya buat hal sendiri pun boleh timbul cerita kurang enak apatah lagi kalau saya buat bergaul mesra. Jadi nak tak nak, saya kena berjaga-jaga. Kena bermuka-muka. Tapi saya tahu ini semua permainan dalam industri seni.

“Saya mula faham senario ini. Tapi itu tak akan mematahkan semangat saya untuk berjuang dalam seni. Saya masih belajar dan berjaga-jaga terutamanya apabila bercampur dengan orang. Kita tak tahu apa kemungkinan yang boleh terjadi hingga tempiasnya kena pada diri sendiri,” katanya yang pernah membintangi filem Paku berdampingan dengan Johan As’ari.

Aishah juga menyatakan beliau sedia menerima sebarang teguran dan nasihat.

“Kalau ada yang tak kena, tegurlah saya berdepan daripada bawa cerita yang ditokok tambah,” katanya.

Cinta Ibadah bersiaran di saluran Astro Prima dan Maya HD bermula 8 September lalu setiap Isnin hingga Jumaat jam 5 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.