Lepas ini Ajak Berzina Pula – Dewan Pemuda PAS Wilayah

Kuala Lumpur – Penganjuran program ‘I Want to Touch a Dog’ perlu diperhalusi dengan lebih teliti kerana ia telah menyuburkan kelunturan nilai beragama dan budaya diwarisi oleh masyarakat di Malaysia.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusof berkata, sikap penentangan ke atas penganjuran tersebut dianggap sebagai ancaman kepada nilai berkenaan dan bukanlah kerana paranoid.

Menurutnya, ia lahir daripada rasa tanggungjawab untuk memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk.

“Kerisauan kami berasas, kerana selepas penganjuran ‘Topless Friday’ (beach party), ‘Octorberfest’ dan baru-baru ini dengan program berkenaan.

“Kami khuatir esok lusa pula dianjurkan kempen ‘Sex & Condom’ dengan rasional seks selamat bagi mengelakkan HIV dan AIDS menular kononnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, diharapkan pencegahan program seumpama ini dapat dibuat lebih awal sebelum ia dilaksanakan pada masa-masa akan datang.

“Umat Islam juga diseru untuk meningkatkan kefahaman ilmu Islam dan penghayatan terhadapnya dalam diri dan keluarga masing-masing serta masyarakat sekeliling,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.