Komanwel Boleh Menjadi Kuasa Besar Politik, Ekonomi Dan Tentera – Johan Jaaffar

Oleh: Rohani Mohd Ibrahim

Putrajaya – Komanwel boleh menjadi sebuah kuasa besar politik, ekonomi dan tentera, kata pengamal media veteran Tan Sri Johan Jaaffar.

Beliau berkata berdasarkan perkara itu, transformasi perlu dilakukan untuk membangkitkan semula dan menjenama semula Komanwel agar pertubuhan itu memperoleh semangat baharu dan menjadi lebih relevan serta berjaya pada masa akan datang.

“Komanwel adalah sejarah. Ia mengingatkan kita tentang penjajahan. Ia mengimbau kenangan pedih, malah, bagi sesetengah pihak, ia merupakan suatu kisah pahit. Namun, secara peribadi, saya ingin melihat sebuah Komanwel yang lebih bertenaga, yang dilahirkan semula.

“Komanwel perlu membuat pendirian, bukan untuk bermegah dengan kehebatan pada masa lampau, tetapi berdasarkan peluang untuk masa depan,” katanya.

Johan, yang juga pengerusi Media Prima Berhad, berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertajuk, ‘Kekurangan Laporan Tentang Komanwel. Apa Yang Perlu Dilakukan?’ pada forum media yang diadakan pada hari terkhir persidangan dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014 di sini Selasa.

Forum itu, yang pertama kali diadakan bersempena persidangan CAPAM, dihoskan bersama Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Johan berkata kekurangan laporan tentang Komanwel berlaku kerana tiada banyak perkara yang wajar dilaporkan tentang kumpulan negara itu.

“(Berita) Komanwel perlu dihidangkan dengan cara yang boleh memikat hati, menarik, ranggi, malah santai dan seksi bagi golongan muda untuk mengatasi masalah kekurangan laporan,” katanya.

Beliau juga berkata pengamal media di negara Komanwel perlu mempunyai persatuan sendiri – Kumpulan Editor Komanwel (CEG) atau persatuan lain seumpamanya.

“Penumpuan media boleh membantu mempromosi ‘keKomanwelan’. Sifat ‘keKomanwelan’ perlu mempunyai makna bagi setiap orang,” katanya.

Johan berkata setakat ini tidak wujud banyak kaitan antara rakyat Barbados dengan rakyat Fiji, atau rakyat Malaysia dengan rakyat Kiribati, atau rakyat Tonga dengan rakyat Kanada.

“Komanwel perlu menjadi milik kita. Pemilikan sangat penting untuk kelangsungan hidup Komanwel. Seseorang di Mata-Mata, New Zealand atau Muar di Malaysia, atau sesuatu tempat yang tidak pernah didengar di Pakistan, Zimbabwe atau Lesotho, perlu berasa bangga untuk berkata Komanwel adalah kepunyaan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.