KJ Sahkan Seorang Atlet Kebangsaan Gagal Ujian Dadah

Kuala Lumpur -Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan seorang atlet kebangsaan telah gagal dalam ujian doping di satu kejohanan antarabangsa yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Khairy, pihaknya dan atlet terbabit serta Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) telah dimaklumkan tentang perkara ini dalam surat daripada persekutuan antarabangsa sukan berkenaan bertarikh 1 Oktober.

“Mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), atlet yang gagal ujian doping diberi peluang untuk sampel kedua dikenali sebagai B sampel diuji.

Dalam kes ini atlet terbabit telah diberi hingga 17 Oktober untuk memohon ujian B sampel. Beliau telah melakukan permohonan tersebut dan sedang menunggu maklum balas daripada persekutuan sukan antarabangsa berkenaan tentang tarikh ujian B sampel” ujarnya melalui satu kenyataan petang tadi.

Sumber SuaratV sebelum ini mendedahkan seoprang jaguh sukan badminton negara dari Pulau Pinang dilaporkan positif dadah dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan beliau berkemungkinan bakal berdepan dengan hukuman gantung selama dua tahun.

Khairy yang dijadualkan membuat satu sidang media khas bagi mengumumkan perkara itu bagaimanapun membatalkannya di saat akhir.

 

Baca: Bintang Sukan Negara Positif Dadah?

 

Berikut adalah kenyataan media Menteri Belia dan Sukan berhubung perkara itu:

 

Kenyataan Media Menteri Belia & Sukan

Saya boleh sahkan laporan dalam berita bahawa seorang atlet kebangsaan telah gagal ujian doping di satu kejohanan antarabangsa.

Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) telah dimaklumkan tentang perkara ini dalam surat daripada persekutuan antarabangsa sukan berkenaan bertarikh 1 Oktober. Persatuan kebangsaan sukan berkenaan dan juga atlet terbabit juga dimaklumkan melalui surat pada hari yang sama.

Mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), atlet yang gagal ujian doping diberi peluang untuk sampel kedua dikenali sebagai B sampel diuji. Dalam kes ini atlet terbabit telah diberi hingga 17 Oktober untuk memohon ujian B sampel. Beliau telah melakukan permohonan tersebut dan sedang menunggu maklum balas daripada persekutuan sukan antarabangsa berkenaan tentang tarikh ujian B sampel.

Sejak saya diberi tahu tentang keputusan ujian tersebut, saya telah minta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dato’ Dr Ramlan Abd Aziz, dibantu oleh Ketua Unit ADAMAS, Nishel Kumar, untuk melaksanakan siasatan rapi berkenaan dengan segala rawatan dan perubatan yang diberi kepada atlet terbabit. Ini dilakukan untuk membantu kita mendapat penjelesan lebih lanjut tentang keputusan ujian tersebut.

Buat masa ini kita masih menunggu tarikh untuk ujian B sampel. Sebarang tindakan dan kenyataan selanjutnya akan dibuat berpandukan keputusan ujian B sampel.

21 Oktober, 2014
Khairy Jamaluddin
Menteri Belia & Sukan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.