Ketiadaan ISA Kekang Usaha Hapus Militan

Shah Alam – Ketiadaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan menjadi antara punca utama pihak berkuasa tidak dapat mengambil tindakan membanteras aktiviti militan lebih awal sebelum ia menular hingga ada warga tempatan turut menyertai kumpulan seumpama itu di luar negara.

Menurut mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, polis khususnya berhadapan dengan kekangan berkenaan memandangkan masalah kekurangan bukti tidak membolehkan mereka yang terbabit dalam aktiviti tersebut didakwa di mahkamah.

“Oleh kerana ISA sudah tidak ada, mahkamah perlu beri bukti untuk tahan.

“Sebab itu kita perlu ada undang-undang yang lebih berkesan untuk membolehkan polis jalankan kerja mereka.

“Kita kena ingat bila orang buat jenayah, mereka tidak akan tunjukkan yang mereka buat jenayah dan oleh kerana itu, polis perlu ambil masa untuk kenal pasti mereka sebab perlukan bukti untuk bawa mereka ke mahkamah,” katanya dalam Wacana Sinar berkenaan “Islamic States (IS): Militan atau Jihadis”

Musa adalah seorang daripada panel wacana berkenaan yang berlangsung petang tadi di Shah Alam.

Wacana kali ke 32 anjuran akhbar tabloid Sinar Harian turut menampilkan Penganalisis Politik Tempatan dan Antarabangsa, Dr Maszlee Malik serta Timbalan Presiden & Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa Pertubuhan IKRAM, Hasanuddin Mohd Yunus.

Sementara itu Hasanuddin pula berhujah, kerajaan perlu memandang lebih luas konsep pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan tidak melihatnya sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Pertubuhan dakwah dan NGO Islam yang ada dalam negara sebenarnya berusaha untuk mendidik anak-anak muda ke arah yang lebih baik dan maju, tegas beliau.

“Kita minta kepada pemerintah dan pihak keselamatan juga, jangan salah faham terhadap NGO Islam, malah menganggap semua NGO Islam semua satu bakul, semua nak di’ISA’kan kalau boleh.

“Kita nak bagitahu berbaik sangkalah dengan pertubuhan dakwah yang memberikan kebaikan kepada pembangunan negara, kita berjuang untuk mendidik anak-anak muda kita sebagi `abrar’ (baik) dan `ahrar’ (bebas).

“Kita tidak terpesong,” katanya di dalam program sama yang berlangsung di Auditorium Karangkraf.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.