Kabinet Tidak Boleh Campur Urusan Peguam Negara

Kuala Lumpur – Kabinet tidak boleh membuat keputusannya sendiri berhubung tindakan pendakwaan terhadap Datuk Ibrahim Ali kerana ia sama seperti mencampuri urusan pejabat Peguam Negara, kata Nancy Shukri hari ini.

Menteri bertanggungjawab hal-ehwal undang-undang itu berkata, beliau juga tidak faham tuduhan laporan media mengatakan dia dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi kenyataan berbeza berkenaan perbincangan kabinet mengenai perkara itu.

“Saya baca laporan berita dan saya tidak faham apa maksud mereka apabila mengatakan ada maklumat yang bercanggah.

“Apa yang saya boleh katakan ialah, saya memaklumkan Kabinet apa yang berlaku kerana kekecohan yang terjadi akibat dari jawapan Parlimen saya.

“Tetapi kabinet sudah tidak dan tidak akan membuat keputusan kerana ia bukan tugas mereka. Ia tugas Peguam Negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Bercakap pada satu sidang media, Nancy berkata Kabinet tidak boleh campur tangan dalam urusan pejabat peguam negara.

“Kita tidak boleh campur tangan dalam peranan peguam negara kerana kita akan dituduh masuk campur. Mesti ada pemisahan kuasa,” katanya selepas merasmikan program memperkasakan belia dengan maklumat di Kuala Lumpur.

Nancy berkata kuasa berada di tangan peguam negara untuk membuat keputusan terhadap sebarang tindakan pendakwaan, bukan terletak pada beliau sebagai menteri atau pada kabinet.

Beliau juga berkata memandangkan peguam negara bukan seorang ahli Parlimen, sebagai menteri yang bertanggungjawab, beliau harus memberi jawapan di Dewan Rakyat berdasarkan keputusan yang diambil peguam negara.

“Tidak seperti di United Kingdom, di mana peguam negara ialah seorang menteri. Di sini bukan begitu. Jadi, saya yang kena bagi jawapannya. Dan ia merupakan jawapan bertulis, yang saya tidak boleh bantah, dan ia kemudiannya tersebar luas di ruang siber,” katanya.

Nancy juga mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mengkritiknya kerana mengaku yang tugasnya hanya membacakan keputusan yang dibuat polis dan peguam negara, berhubung mengapa presiden Perkasa itu tidak didakwa.

Lim memberitahu pemberita: “Itu mengarut. Dia seorang menteri tetapi dia kata dia hanya ikut sahaja apa yang dikatakan oleh kakitangan awam.

“Peguam negara tidak dilantik oleh rakyat… Adakah anda (Nancy) hendak katakan yang anda tidak ada kuasa tetapi kakitangan awam yang tidak dilantik rakyat yang mempunyai kuasa?

“Itu satu pengakuan yang mengejutkan, (kalau begitu) tiada gunanya melantik Barisan Nasional (BN) sebab ia kerajaan yang tidak ada kuasa.”

Nancy berkata kenyataan Lim bukti yang pembangkang bermain politik dengan memberitahu rakyat supaya tidak mengundi untuk BN.

“Saya baca yang Lim kata kalau ini berlaku, rakyat tidak harus mengundi BN. Inilah yang mereka hendak lihat terjadi. Mereka bermain politik. Kami tidak buat begitu, kami bertindak mengikut undang-undang,” kata Nancy.

Beliau sekali lagi mempertahankan dirinya dari tuduhan yang beliau mempertahankan Ibrahim.

“Tugas saya di Parlimen ialah untuk memaklumkan apa yang dilakukan oleh peguam negara, dalam hal ini, kerana dia bukan ahli Parlimen,” katanya.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia menilai terlebih dahulu maklumat yang diterima sebelum memberi sebarang reaksi.

Berkenaan dakwaan yang dia mengelirukan rakyat, Nancy berkata pembangkang yang sebenarnya berbuat demikian dalam usaha mereka hendak menjatuhkan kerajaan yang memerintah.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kabinet-tidak-boleh-buat-keputusan-pendakwaan-bagi-pihak-peguam-negara-kata#sthash.DqZOOz48.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.