Jangan Percaya Semua Yang Ada Dalam Media Sosial

Kuala Lumpur – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri memberi amaran kepada belia jangan dengan mudah mempercayai semua yang dibaca di laman sosial dan menasihati mereka tidak terlalu cepat menekan ‘Like’ sebelum mengesahkan sama ada maklumat tersebut benar atau tidak.

Bercakap di pelancaran program Memperkasa Informasi Generasi Muda 2014 di Kuala Lumpur hari ini, beliau memberitahu peserta yang hadir, dirinya juga baru-baru ini menjadi sasaran di ruang siber.

“Saya tidak tahu sama ada saya patut kata saya ni mangsa buli siber atau mangsa politik, disebabkan apa yang diperkatakan di blog dan media sosial,” katanya, dipercayai merujuk kepada kontroversi terbaru tentang jawapan Parlimen beliau berhubung kes Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Beliau menambah, apabila seseorang menjadi sasaran media sosial, sukar untuk memperbetulkan keadaan kerana teknologi bergerak terlalu pantas.

“Apabila menjadi sasaran media seperti itu, tiada jalan untuk perbaiki keadaan, kita rasa lemah hendak menentang kepantasan teknologi.

“Jadi, kita kena buat ‘damage control’ (perbaiki kerosakan yang terjadi) perlahan-lahan. Dan kemudian, akan ada orang yang meminta maaf kerana bersikap terburu-buru. Tetapi, kerosakannya sudah pun berlaku.”

Nancy berkata bukan orang muda sahaja yang mudah terpengaruh dengan berita di media sosial, orang tua juga ada yang cepat melenting dengan berita seperti itu.

“Jadi, periksa dahulu, jangan terus klik ‘Like’ dan ikut sahaja orang lain mengkritik.”

Nancy Shukri berkata belia perlu berhati-hati mempercayai media sosial kerana apabila menjadi sasaran bagi laman begitu, sukar untuk memperbaiki keadaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Oktober, 2014. Nancy Shukri berkata belia perlu berhati-hati mempercayai media sosial kerana apabila menjadi sasaran bagi laman begitu, sukar untuk memperbaiki keadaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Oktober, 2014. Nancy dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 7 Oktober berkata, polis mendapati gesaan Ibrahim tahun lepas supaya Bible berbahasa Melayu dibakar, ditujukan kepada individu tertentu.

Ia bukan ancaman kepada masyarakat yang lebih besar, oleh itu, polis memutuskan tidak mengambil tindakan terhadap Ibrahim kerana beliau hanya “mempertahankan Islam.”

Dua hari selepas jawapan bertulis itu dikeluarkan, Nancy mengeluarkan satu kenyataan, membidas pembangkang yang menjadikan jawapannya modal politik mereka.

Nancy juga menyeru belia supaya bekerjasama dengan kerajaan dalam menyebarkan maklumat yang tepat berkenaan keputusan dan dasar kerajaan.

Beliau berkata ini penting bagi memastikan maklumat tepat, contohnya berkenaan cukai barangan dan perkhidmatan yang akan dilaksanakan tahun depan, tidak disebarkan melalui cara yang mengundang provokasi dalam masyarakat.

Beliau juga menimbulkan isu trend muflis yang membimbangkan di kalangan belia, mengatakan keseluruhannya terdapat 134,550 kes muflis dari 2007 hingga Jun tahun ini.

Daripada angka tersebut, mereka yang berumur antara 25 dan 34 tahun terlibat dalam 20% daripada kes itu, 35 hingga 44 tahun dalam 34% kes, manakala 45 hingga 54 tahun dalam 26% kes.

Menurut Nancy, kebanyakan kes muflis disebabkan kegagalan membayar pinjaman kenderaan (26%), kegagalan membayar pinjaman perumahan (17%) dan pinjaman peribadi (16%).

Beliau menambah, kerajaan juga sedang dalam tahap akhir menghasilkan draf baru bagi akta menggantikan Akta Bankrapsi 1967 bagi menghapuskan kelemahan yang ada dan melindungi kepentingan semua pihak, termasuk penjamin sosial.

Nancy turut menggesa belia yang hadir pada program itu supaya mengambil peluang bertanya soalan kepada agensi kerajaan yang hadir dan tidak terpengaruh dengan semua yang dibaca dalam media sosial.

Agensi yang turut serta hari ini termasuk Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Insolvensi, Amanah Raya Bhd, Jabatan Kastam dan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.