iPhone 6, 6 Plus Dorong Apple Catat Untung Lebih Tinggi

SAN FRANCISCO: Model terbaharu Apple iPhone 6 dan 6 Plus dengan skrin lebih besar menjadi antara pendorong utama melonjakkan keuntungan Apple Inc pada suku keempat, lebih daripada jangkaan.

Apple mengumumkan untung meningkat 13 peratus kepada AS$8.5 bilion (RM27.8 bilion), disandarkan kepada pendapatan yang meningkat kepada AS$42.1 bilion (RM137.5 bilion) pada suku keempat berakhir 27 September lalu.

Syarikat itu mengumumkan menjual 39 juta iPhone pada suku keempat, sebahagian besarnya didorong penjualan iPhone 6 dan 6 Plus yang dilancarkan pada 19 September. Dalam suku sama tahun lalu, Apple menjual 33.8 juta unit.

Jualan iPhone merangkumi AS$23 bilion (RM75.14 bilion) daripada perolehan, lebih separuh daripada pendapatan keseluruhan Apple pada suku tahunan yang dikaji.

Bagaimanapun, jualan iPad susut sedikit lantaran menunggu pelancaran baharu kelmarin, jatuh kepada 12.3 juta unit dan menyumbang AS$5.3 bilion (RM17.3 bilion) kepada pendapatan.

“Saya lihatnya seperti peredam kelajuan di jalan, bukan isu besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook mengenai penyusutan jualan iPad selepas pengumuman keputusan kewangan syarikat di sini awal pagi tadi.

“Saya tahu ramai yang jangka pasaran (tablet) sudah tepu, kami tidak lihatnya begitu,” katanya.

Berikutan keghairahan pengguna terhadap tablet semakin reda, bahagian pasaran Apple susut kepada 25 peratus, berbanding 70 peratus yang dikuasai tablet menggunakan sistem operasi (OS) Android, mengikut Strategy Analytics.

Mengulas arah aliran itu, Cook berkata, pengguna menggunakan iPad mereka untuk tempoh lebih lama berbanding iPhone. Justeru, syarikat masih membuat kajian mengenai bila pengguna menaik taraf kepada tablet baharu.

Dalam tempoh yang dikaji, Apple turut menjual 5.5 juta komputer Mac dan 2.6 juta iPod. Jualan keseluruhan Mac naik, walaupun pasaran komputer peribadi secara keseluruhannya menyusut.

Apple Inc, syarikat terbesar dunia daripada segi nilai pasaran, mengakhiri tahun fiskal 2014 dengan untung AS$39.5 bilion (RM129 bilion) yang disandarkan kepada pendapatan sebanyak AS$183 bilion (RM598 bilion).

Penyelidik di Global Equities Research, Trip Chowdhry, berkata keputusan kewangan Apple lebih daripada jangkaan penganalisis.

“Keputusan ini mengesahkan unjuran pelaburan kami bahawa Apple adalah syarikat yang paling pesat berkembang,” katanya.

Saham Apple naik 1.47 peratus kepada AS$101.23 (RM330.70) dalam urus niaga selepas dagangan apabila keputusan kewangan itu diumumkan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.