Fahrin Anggap Populariti Bersifat Sementara

Petaling Jaya – Fahrin Ahmad menganggap populariti diraihnya menerusi drama bersiri terbarunya,  Maaf Jika Aku Tak Sempurna hanya bersifat sementara dan kitaran biasa bagi mana-mana artis terlibat dalam karya yang mendapat perhatian luar biasa penonton.

Fahrin berkata, dia tidak terkejut jika namanya kembali suram selepas drama lakonan bersama Sara Ali siaran TV3 itu berakhir pada Isnin depan.

“Populariti menerusi lakonan dalam sesuatu drama itu bermusim sifatnya malah saya sudah beberapa kali mengalami situasi berkenaan.

“Pada tahap sekarang saya tidak begitu peduli atau terbawa-bawa dengan populariti yang diraih kerana saya tahu ia kitaran biasa dan penonton akan lupakan selepas muncul drama lain,” katanya.

Aktor itu ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai pengacara Anugerah Skrin 2014 bersama tujuh hos lain iaitu  Zul Ariffin, Amyra Rosli, Nabila Huda, Shukri Yahya, Tasha Shilla, Fiza Sabjahan dan Fara Fauzana di Sri Pentas, Bandar Utama.

ASK 2014 bakal berlangsung pada 7 November depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.

Fahrin turut menegaskan, artis-artis baharu sepatutnya tidak hanyut dengan populariti yang diraih menerusi lakonan mereka kerana ia hanya bersifat sementara dan mereka seharusnya menggunakan peluang tersebut untuk lebih bijak merancang strategi bagi membolehkan karier mereka kekal lebih lama ditambah dengan persaingan semakin sengit dalam industri lakonan.

“Kadang-kadang ada di antara mereka ini terus lupa objektif asal menjadi pelakon dan membiarkan diri mereka hanyut dengan pujaan peminat yang pada pengalaman saya tidak kekal lama.

“Malah ada yang tersalah langkah sehingga nama mereka terjerumus dalam gosip dan kontroversi yang akhirnya memusnahkan karier mereka sendiri,” jelasnya.

Menurut Fahrin, pemilihannya sebagai hos utama ASK 2014 adalah satu cabaran besar kerana seminggu sebelum itu dia diamanahkan untuk mengemudi Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) bersama aktres Nur Fazura.

Fahrin yang kini sedang sibuk membuat persiapan untuk kedua-dua acara itu berpendapat, dia memerlukan pendekatan berbeza namun sangat yakin dapat melunaskan tugas diberikan kepadanya itu sebaik mungkin.

“Jika diikutkan memang gementar tetapi pada tahap ini saya tiada masa untuk berperasaan sedemikian kerana sibuk memberikan perhatian untuk mengacarakan dua anugerah berprestij itu.

“Sepatutnya FFM 26 berlangsung lebih awal tetapi ia ditangguhkan kepada tarikh 1 November dan saya berharap dapat melaksanakan tugas diberikan dengan baik nanti,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.