Eina Akui Kurang Diminati Akibat Kontroversi, Mula Perbaiki Diri

Petaling Jaya –  Eina Azman mengakui kontroversi yang pernah tercetus antaranya dengan aktor Afiq Muiz pada tahun lalu membuatkan dia kurang diminati di kalangan segelintir masyarakat yang beranggapan dia sebagai pencetus perbalahan antara Afiq dan keluarganya.

Ainur Syakina Azman yang lebih dikenali sebagai Eina Azman dalam dunia lakonan ini berkata, selepas kejadian itu dia mula memperbaiki diri dan menjadikan perkara itu sebagai satu pengajaran besar untuk bersikap lebih matang.

“Orang kata pengalaman itu satu pengajaran. Itu yang saya rasa sekarang ini. Apa yang dah berlaku sebelum ini saya jadikan sebagai pembelajaran hidup untuk menjadi seorang yang lebih berfikiran matang.

“Dan rasanya saya sudah membaiki sikap keanak-anakan itu. Alhamdulillah, orang mula menerima saya sedikit demi sedikit,” katanya.

Sebelum ini kontroversi antara Eina dan Afiq tercetus apabila aktres itu dikatakan menjadi punca Afiq menderhaka kepada ibunya sehingga tidak pulang ke rumah kerana perhubungan mereka dikatakan tidak disenangi oleh keluarga Afiq, namun pada masa itu Afiq seolah-olah memilih untuk bersama Eina berbanding keluarganya.

Walau bagaimanapun, Eina berkata, dia mula merasakan mulai diterima oleh peminat sejak membintangi drama bersiri Selamat Pengantin Madu yang kini masih bersiaran di TV3 setiap Khamis, pukul 9 malam dan secara tidak langsung ini menunjukkan masyarakat masih lagi memberi peluang untuknya menonjolkan bakat yang ada.

“Mula-mula ketika menerima watak antagonis, risau juga kerana sudahlah orang tak berapa nak suka saya, berlakon watak jahat juga pasti akan ada kesannya.

“Memang benar, orang menyampah melihat saya dalam drama itu tetapi mereka sukakan lakonan saya. Peminat saya makin bertambah hanya kerana drama ini sahaja,” ujarnya.

Menurut pelakon yang berusia 19 tahun ini, dia bersyukur kerana diberikan peluang berlakon bersama aktres Fasha Sandha yang juga sering memberikan tunjuk ajar kepadanya selain menjaga disipllin di lokasi penggambaran sepanjang berlakon bersama dalam siri drama Selamat Pengantin Madu.

“Saya percaya, menjaga disiplin kerja akan membuatkan mana-mana pihak pun senang dengan kita. Saya harap akan mengekalkan prestasi kerja sebaik mungkin,” tuturnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.