Bintang Asli Kebangsaan 2014 Milik Fitri Hiswandy Dan Nurul Syafiqah

Kuala Lumpur – Sabtu lalu, termaktub sudah keputusan Pertandingan Bintang Asli Kebangsaan 2014 berpihak kepada Fitri Hiswady Hasan Nordin untuk Johan kategori lelaki manakala kategori wanita menjadi milik Nurul Syafiqah Mohd Khambali.

Masing-masing membawa pulang hadiah RM10,000 beserta Piala Pusingan, piala iringan dan sijil. Seramai 12 peserta bersaing malam berkenaan. Enam daripadanya peserta lelaki dan selebihnya peserta wanita.

Fitri juga menang bergaya apabila turut memenangi kategori Persembahan dan Vokal Terbaik yang mana setiap satu memperoleh RM1,000. Secara keseluruhan Fitri membawa pulang wang kemenangan RM12,000.

Cuma di sebalik kejayaan pemegang Ijazah Fakulti Muzik ASWARA, beliau agak sedih kerana bapa tersayang tidak dapat menyaksikan detik bersejarah itu kerana sedang menunaikan fardu haji di Tanah Suci manakala adik beradik lain terikat dengan urusan yang tak dapat dielakkan.

“Saya masih terkejut apatah lagi malam ini langsung tidak meletakkan harapan atau sasaran untuk menang langsung. Persiapan yang saya lakukan hanyalah untuk melakukan persembahan terbaik, berseronok dan menghiburkan penonton.

“Tambahan pula, saya berasa sedikit sedih apabila tiada seorang pun daripada ahli keluarga saya hadir pada malam ini sekali gus meraikan kejayaan saya kerana masing-masing ada urusan hal.

“Mujurlah ramai teman-teman saya yang hadir dan ini memberi saya semangat untuk beraksi sebaik mungkin,” katanya mempertaruhkan lagu Jalinan Kasih dan Zapin Rao pada pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu.

Fitri kini mengajar vokal di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Enfiniti Academy dan bakat beliau dalam menyanyikan lagu asli diwarisi oleh Allahyarham ibunya.

“Arwah ibu adalah seorang penyanyi lagu asli semasa mudanya. Justeru, sejak kecil lagi saya sudah terbiasa membesar dengan lagu asli pelbagai rentak seperti inang, zapin, joget, masri dan ghazal,” katanya yang bersedia menjadi artis rakaman jika diberikan tawaran itu.

Malam itu turut menjadi malam yang indah buat Mohd Nurhakimi MD Yaman yang membawakan lagu Resah Hati dan Joget Secawan Kopi termasuk Syaimaa Salleh, dengan lagunya Seri Rembulan dan Ya Allah Ya Saidi apabila diumumkan sebagai naib johan mewakili kategori lelaki dan wanita.

Sementara, Fazli Awang yang menyampaikan lagu Doa Dan Airmata dan Zapin Sri Pekan serta Noorhanida Saman menerusi pertaruhan lagu Rumpun Setaman dan Joget 106, tetap berpuas hati di kedudukan ketiga.

Setiap peserta diadili oleh barisan juri profesional Datuk Ramli MS, Cikgu Siti Hajar Ismail, Raffah Bachik, Jimmy Ali dan Hazwan Haziq Rosebi.

Enam peserta yang tidak berjaya turut dihargai penganjur apabila setiap seorang diberikan hadiah sagu hati wang tunai RM1,000 serta sijil penyertaan. Mereka adalah Mohammad Fadhullah Samad, Khairil Fadzly Rosli, Abdul Rahman Mahadi, Noor Aine Yusof, Nor Azimah Buang dan Nur Azah Abu Samah.

Menyingkap salah silah pertandingan BARK, ia mula diperkenalkan pada 1996 dan seterusnya menjadi acara tahunan. Malah sejak sepuluh kali dilaksanakan (1996-2001, 2006-2009 dan 2014), BARK berjaya melahirkan ramai artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Syura, Siti Nordiana, Asmidar, Alif Azfar dan ramai

Tujuan ia dikembalikan oleh JKKN dan RTM adalah kerana ‘keterasingan’ irama Asli yang terdiri dari genre tradisional seperti zapin, joget, inang, masri dan ghazal yang dulunya popular di pentas bangsawan dan laman majlis perkahwinan.

Lantas, mahu diangkat sebagai nuansa yang komersial selain bentuk pertandingan eksklusif pencarian bakat seni suara dalam format TV yang tersendiri.

Tambahan pula sudah terbukti, BARK satu-satunya program pencarian bakat dalam bidang seni suara yang menjadikan lagu-lagu asli sebagai landasan utamanya dinyanyikan peserta remaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.