AS Sedia Kerjasama Dengan Malaysia Di PBB

Jakarta – Amerika Syarikat (AS) mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak atas kejayaan Malaysia memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dengan memperoleh 187 daripada 192 jumlah undi.

Perdana Menteri ketika memaklumkan perkara itu berkata, ucapan tahniah berkenaan disampaikan Setiausaha Negara AS, John Kerry semasa membuat kunjungan hormat ke atas Najib sejurus selepas menghadiri upacara pelantikan Joko Widodo sebagai Presiden Republik Indonesia yang ketujuh di sini.

“Senator John Terry juga menyatakan kesediaan AS untuk bekerjasama dengan Malaysia di PBB,” katanya kepada wartawan Malaysia sebelum kembali ke tanah air, semalam.

Najib berkata pada pertemuan itu beliau juga menyatakan bahawa Malaysia akan berperanan lebih aktif, malahan pada masa ini amat prihatin terhadap wabak penyakit Virus Ebola (EVD) yang semakin serius dihadapi dunia.

Menurutnya sebagai langkah awal, Malaysia memberi sumbangan sebanyak US$20 juta dalam bentuk sarung getah tangan untuk diagihkan kepada lima buah negara yang dilanda EVD.

Sambil menghargai usaha Malaysia itu, Perdana Menteri berkata Kerry juga menyampaikan hasrat agar Malaysia turut membantu mengumpul dana bagi memerangi virus itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.