KUALA LUMPUR — Sesuai hasrat negara yang ingin mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), keperluan asas dan aspirasi rakyat khususnya di negeri Sabah perlu dipenuhi dengan sewajarnya.
Senator Dewan Negara, Tan Sri Anifah Aman berkata, isu bekalan eletrik, air dan jalanraya di Sabah termasuk juga W. P Labuan masih menjadi keluhan rakyat di negeri itu.
Beliau meminta agar melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) isu ini tidak berulang kembali dan mampu diselesaikan sepenuhnya.
“Rakyat di negeri ini masih memerlukan infrastruktur yang baik, akses pendidikan berkualiti, kesihatan dan peluang pekerjaan yang adil.
“Tanpa infrastruktur dan keperluan asas yang lengkap, adalah mustahil untuk rakyat keluar dari kepompong kemiskinan dan akhirnya, kita gagal mencapai apa yang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hasratkan iaitu untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
Jelasnya di Sabah, terutama di kawasan bandar, kerajaan persekutuan seharusnya memberi lebih banyak peruntukan kepada kerajaan negeri untuk pembangunan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah.
“Masalah kekurangan rumah mampu milik di kawasan urban Sabah memerlukan tindakan segera.
“Kita mendengar keluhan rakyat dimana sahaja, dari media sosial ke kedai kopi. Malah ia masih lagi kedengaran di Dewan Rakyat ketika ini.
“Persoalannya ialah, adakah semua ini masih lagi akan menjadi isu yang diulang semasa pembentangan RMK13 kelak?,” katanya dalam ucapan separuh penggal RMK-12 di Dewan Negara hari ini.
Dalam pada Itu beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila dalam kajian separuh penggal ini Wilayah Persekutuan Labuan telah tercicir.
“Soalan saya apakah pertimbangan yang diberikan kepada Wilayah Persekutuan Labuan sehingga penghujung RMK12? Labuan patut diberi lebih perhatian dan peruntukan.
“Sementelah itu, rakyat di Wilayah Persekutuan Labuan masih lagi berdepan dengan masalah kemudahan asas yang kritikal terutamanya bekalan elektrik dan air.
“Sekiranya masalah ini gagal ditangani dengan sempurna, adalah sukar untuk kita hendak menarik orang luar untuk berniaga di Labuan dan seterusnya menjadikan Labuan sebagai destinasi pilihan para pelabur asing,” katanya.
Beliau juga turut mencadangkan agar Kerajaan-Kerajaan Negeri diberi kuasa secara langsung agar dapat bersama-sama berusaha sejajar dengan Kerajaan Persekutuan dalam inisiatif menoktahkan kemiskinan tegar.