Undang-Undang Kesalahan Liwat Sudah Lapuk, Ketinggalan Zaman dan Tidak Adil – Anwar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan undang-undang berkaitan dengan liwat yang pernah dikenakan ke atas beliau sebagai kuno, ketinggalan zaman dan tidak adil.

Ketua Umum PKR itu menerusi wawancara dalam rancangan Upfront Al-Jazeera versi Bahasa Inggeris berkata, undang-undang berkenaan adalah tinggalan penjajahan kolonial British.

“Undang-undang itu adalah hasil tinggalan penjajahan kolonial British yang asalnya diperkenalkan di India dan kemudiannya dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

Rancangan Upfront itu dikendalikan Mehdi Hasan.

Anwar pernah dua kali dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan meliwat.

Undang-undang negara ini menetapkan sesiapa yang didapati bersalah kerana meliwat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Anwar berkata, adalah tidak adil mengenakan tuduhan kepada pesalah tanpa bukti yang kukuh.

Merujuk kepada kes liwat membabitkan beliau, Anwar berkata;

“Ia benar-benar tidak adil kerana seseorang itu boleh dituduh tanpa bukti yang kukuh… dalam kes saya dengan tiada bukti yang jelas, saya didakwa dan dikenakan hukuman.

“Undang-undang itu mesti dipinda untuk memastikan proses keadilan berjalan tanpa mengira orientasi seksual seseorang itu.

“Ini mengenai apa yang dilakukan oleh individu atau ia dilakukan secara terbuka atau perkara itu melanggar norma majoriti rakyat Malaysia bukan sahaja umat Islam, Kristian, Hindu, Buddha di negara ini,” katanya.

Anwar turut menyuarakan bantahan beliau terhadap kes hukuman sebat secara terbuka ke atas dua wanita di Terengganu kerana kesalahan melakukan hubungan lesbian yang turut disifatkannya sebagai tidak adil.

“Saya sudah mengutuk hukuman itu. Saya fikir ini jelas tidak adil walaupun mereka menyatakan itu undang-undang syariah, kita tidak boleh mempertahankan tindakan sedemikian,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.