Tiada Wolverine Atau Profesor X Berkeliran Di Kuantan Kata Najib

Oleh: Naimah Shaari

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memuat naik status panjang yang lawak mengenai projek Lynas dan kilang solar yang dijalankan di Malaysia.

Kata Najib, sejak pembangunan kilang solar di beberapa buah negeri dibina pada tahun 2008 dan kilang Lynas, tiada lagi laporan mengenai ‘Wolverine’ atau ‘Profesor X’ berkeliaran di Kuantan diterima.

Ini kerana, perlaksanaan Lynas dijalankan dengan selamat sejak enam tahun beroperasi dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada rakyat atau orang awam khususnya pekerja-pekerja kilang.

“Loji Lynas di Kuantan telah beroperasi dengan selamat selama 6 tahun dan mematuhi panduan keselamatan selain menyediakan beribu peluang pekerjaan di Kuantan dan menjana pelaburan dalam industri lain juga.

“Setakat ini tiada laporan Wolverine atau Profesor X berkeliaran di jalan-jalan Kuantan atau sekitarnya,” tulis Najib secara lawak di laman Facebooknya.

Menerusi penulisan Najib itu, beliau menyatakan Malaysia telah menerima pelbagai manfaat dan kebaikan atas kejayaan dua projek ini.

“Sebenarnya, Malaysia kini dalam kedudukan baik sebagai peneraju tenaga boleh baharu dan teknologi hijau. Inisiatif ini dimulakan ketika pentadbiran saya melalui perlaksanaan Pelan Induk Teknologi Hijau di mana terdapat banyak insiatif lain turut dilaksanakan.

“Ramai yang tidak tahu, Malaysia kini adalah pengeluar ketiga terbesar di dunia bagi panel solar selepas China dan Taiwan. Sebelum 2008, semua ini tidak wujud.

“Kilang Lynas di Kuantan adalah pengeluar kedua terbesar Neodymium di dunia. Lynas juga mengeluarkan nadir bumi lain bagi penggunaan produk berteknologi tinggi termasuk elektronik,” tulis beliau lagi.

Najib turut meluahkan rasa lega kerana tidak tunduk kepada tuntutan pembatalan perlaksanaan projek Lynas dan tenaga solar yang ditentang oleh pihak kerajaan ketika ini.

Malah, beliau mengharapkan agar kerajaan akan meneruskan projek ini sekali gus dapat memberikan kebaikan kepada ekonomi dan perancangan bisnes negara.

“Mengimbau kembali, saya gembira kita tidak tunduk kepada tekanan besar Pakatan untuk menghentikan projek Lynas kerana ia banyak memberi kelebihan kepada negara untuk menjadi peneraju teknologi tenaga baharu dan sektor teknologi tenaga diperbaharui.

“Saya harap pada bajet 2019 akan datang, kerajaan akan terus memanfaatkan kelebihan yang Malaysia miliki dalam sektor-sektor ini,” kata Najib.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui belum mendapat maklumat mengenai dakwaan yang mengaitkan Lynas Corporation Ltd (Lynas) mahu menarik balik pelaburannya di Malaysia.

“Saya tidak pernah dengar mengenainya. Mereka tidak pernah berjumpa saya atau Kabinet,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini, hari ini. – SuaraTV

2 thoughts on “Tiada Wolverine Atau Profesor X Berkeliran Di Kuantan Kata Najib

  • September 23, 2018 at 10:36 am
    Permalink

    sudahlah pengkhianat penyamun perompak

    Reply
  • September 23, 2018 at 10:37 am
    Permalink

    parti kau berkubur layu terhempas musnah hancur derai bak debu..pulih simpan je angan2 tu…makin hancur musnah hancur parti kau perompak

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.