Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen daripada UMNO akan melompat parti.

“Saya tidak dengar pula ada pemimpin UMNO Johor nak tinggalkan parti,” katanya yang juga ADUN Kempas dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad, Pegawai Kewangan negeri, Datuk A. Rahim Nin dan Datuk Bandar Johor Bahru, Amran Rahman.

Selasa lalu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar UMNO dan tidak sampai 24 jam, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman pula mengikut jejak langkah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tersebut.

Beberapa orang lagi Ahli Parlimen UMNO termasuk ahli Majlis Tertinggi dijangka meninggalkan parti itu dalam masa terdekat dengan senarainya menjadi tular dalam laman sosial.

Seorang daripadanya adalah dari negeri ini iaitu Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang sehingga kini tidak menafi atau mengiyakan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Osman yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor tidak mahu mengambil tahu tentang UMNO dan apa-apa berkaitan parti lamanya itu.

“Pada saya, apa yang perlu adalah saya jaga parti saya dan PH. Terpulang kepada UMNO, dia (UMNO) nak jadi kuat ke tak kuat itu tanggungjawab dia,” katanya. – UTUSAN ONLINE