“Rakyat Perlu Tahu Kesudahan Kes Banglo Lim Guan Eng”

SHAH ALAM: Seorang lelaki bertindak membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang agar mengkaji semula keputusan melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Mohsin Abdul Latheef berkata, keputusan mahkamah itu seolah-olah ‘tidak kena’ dan bersifat tergantung, yang mana Guan Eng dibebaskan sebelum perbicaraan mengenai kes rasuahnya belum diselesaikan.

“Saya failkan permohonan agar mahkamah kaji semula keputusan itu kerana saya rasakan perkara tak betul berlaku. Kes itu habis macam itu sahaja…tergantung.

“Sepatutnya selesaikan perbicaraan sehingga habis, panggil semua saksi supaya rakyat tahu kebenaran kes berkenaan,” katanya kepada SuaraTv.

Permohonan tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 3 Oktober ini.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada 3 September lalu melepas dan membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Ahli perniagaan Phang Li Koon turut dibebaskan daripada dakwaan bersubahat.s

Keputusan tersebut dilihat satu tindakan berkepentingan memandangkan
Tommy Thomas adalah salah seorang peguam yang terbabit dalam pihak pembelaan kes itu sebelum beliau dilantik sebagai Peguam Negara.

Dalam pada itu, Mohsin atau dikenali sebagai Mamu Parpu berkata, permohonan tersebut juga dilakukan bagi membersihkan namanya yang telah difitnah dan dimalukan oleh DAP ekoran tindakan lantangnya menentang Guan Eng.

Katanya yang juga saksi pertama pendakwaan ketika perbicaraan kes pada Mac lalu menambah, permohonan dilakukan atas inisiatif sendiri tanpa dipaksa mana-mana pihak.

“Saya mohon sahabat-sahabat yang rasa kes ini wajar diketengahkan, sokonglah saya. Saya memerlukan sokongan anda dan jika sudi, sokong dari segi sumbangan kewangan untuk saya biayai kos guaman.

“Kita mahu keadilan ditegakkan,” katanya lagi. -SuaraTV

One thought on ““Rakyat Perlu Tahu Kesudahan Kes Banglo Lim Guan Eng”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.