Bagaimanapun, janji itu tidak dapat dicapai apabila Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi pilihan raya tersebut namun isu hutang pendidikan itu terus digunakan sebagai modal politik sehingga ke Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menerusi Manifesto PRU-14, Pakatan Harapan (PH) menawarkan penangguhan bayaran balik hutang PTPTN sehingga mempunyai pendapatan bulan RM4,000 sebulan dan sudah tentu pengundi muda yang mewakili 42 peratus daripada lebih 14 juta pengundi tertarik dengan tawaran tersebut.

Tidak dinafikan isu PTPTN merupakan antara isu yang menarik kebangkitan pengundi muda untuk menolak BN namun isu itu juga kini seumpama jerangkap samar yang menjerat PH.

Sehingga kini, jumlah hutang tertunggak PTPTN seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan syarahan perdana di Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini, menjangkau RM36 bilion.

Malah sikap peminjam yang tidak mahu membayar hutang PTPTN itu juga ditegur oleh Dr. Mahathir kerana beliau berasa malu dengan sikap tidak amanah peminjam yang enggan membayar hutang walaupun telah mempunyai pekerjaan.

“Kita dapati rakyat Malaysia tidak begitu amanah, sebagai contoh kita bagi biasiswa atau pinjaman untuk mereka belajar di dalam dan luar negara tapi malangnya mereka tidak mahu bayar balik pinjaman.

“RM36 bilion hutang tidak dibayar kepada PTPTN, saya rasa malu tetapi mereka (peminjam) tidak. Gaji kalau RM2,000 bayar RM100 pun sudah mencukupi, mereka tidak bayar sebab tidak amanah,” kata beliau.

Perlu diingatkan, di dalam Islam, hutang seberapa kecil pun tetap wajib dibayar malah Islam melihat sikap enggan membayar hutang sebagai satu bentuk kezaliman.

Sewajarnya selepas ini, selain daripada keperluan untuk menerapkan nilai murni dari Jepun seperti yang disebut oleh Dr. Mahathir ketika menyampaikan syarahan perdana hari ini iaitu perasaan malu, rajin dan amanah, budaya untuk membayar hutang juga perlu ditekankan dalam kalangan masyarakat negara ini sebelum ia menjadi lebih parah. – UTUSAN ONLINE