Polis Tembak Mati Dua Penjenayah Kes Samun

HANYA selepas 30 minit cuba melarikan diri daripada polis dengan turut melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaiki polis, dua lelaki warga asing dipercayai terbabit dalam kes samun akhirnya maut ditembak.

Dalam kejadian itu, dua suspek lelaki menaiki Proton Waja dikesan polis pada 4.15 pagi di Taman Manis, Kulai, sebelum memecut kenderaan melarikan diri sehingga ke Bukit Batu, Jalan Sedenak menghala ke FELDA Sayong.

Dalam jarak dua kilometer itu, beberapa das tembakan dilepaskan suspek dari dalam kereta berkenaan, selain turut menggesel dan cuba merempuh Proton Wira dinaiki polis yang mengejar mereka.

Bagi mempertahankan diri, anggota polis melepaskan tembakan ke arah suspek, sebelum kereta suspek terbabas akibat berlanggar kenderaan dinaiki polis dan kemudian dua suspek itu ditemui maut dalam kereta mereka.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kenderaan dinaiki suspek itu dikesan dalam Operasi Rantau cegah jenayah dijalankan D9, Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor.

Katanya, sebaik dikesan dan ditahan polis, suspek memecut kereta mereka dan terus merempuh kereta polis sebelum memecut laju sejauh dua kilometer.

“Suspek melepaskan beberapa tembakan dan bagi mempertahankan diri, kami turut melepaskan tembakan sehingga tiada lagi ancaman kepada anggota polis.

“Apabila kereta mereka terbabas, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu kami menemui dua lelaki disyaki penjenayah warga asing, tumpas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Turut berada di lokasi kejadian, Ketua JSJ Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek itu dipercayai terbabit dalam kes samun sekitar Johor terutama di Johor Bahru, Pontian, Kulai dan kawasan sekitar sejak enam bulan lalu.

“Di Johor, tahun ini sahaja, 50 kes samun direkodkan membabitkan warga asing dan dengan tumpasnya dua suspek ini, kami percaya dapat menyelesaikan 15 kes samun termasuk terbaharu yang berlaku di Pontian, semalam.

“Kami akan menjalankan siasatan lanjut terhadap aktiviti kedua-dua suspek berusia 30-an ini dan mengesan suspek lain atau kes lain yang membabitkan mereka,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya mendapati kenderaan digunakan suspek adalah kenderaan curi yang dilaporkan di Taman Pelangi, Johor Bahru, dan pihaknya turut menjumpai sepucuk pistol Revolver, parang, topeng ski dan sarung tangan.

Beliau berkata, tiada anggota polis cedera dalam kejadian itu, namun terdapat kesan tembakan pada kenderaan polis dan ia turut rosak.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan kedua-dua mayat suspek dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.