“Kenapa Tak Tanya Tentang Rafizi Dan Azmin”, Soal Anwar

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa ‘hairan’ apabila pihak media tidak bertanya mengenai persaingan antara Datuk Seri Azmin Ali dengan Rafizi Ramli, sungguhpun kedua-dua pemimpin itu hadir bersama dalam sidang media hari ini.

“Pasal apa (isu) Azmin dan Rafizi tak tanya?,” katanya sambil disambut ketawa pemberita.

Kata Anwar, pemberita hanya berminat untuk bertanya mengenai perkara itu ketika kedua pemimpin itu tidak bersama, namun tidak berminat untuk bertanya apabila mereka menunjukkan setiakawan.

“Apabila mereka tidak ada bersama, semua kamu sibuk bertanya… malah ketika saya di Singapura saya masih ditanyakan (tentang mereka),” katanya lagi. 

Terdahulu dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri mengumumkan Anwar sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil Port Dickson.

Rafizi dan Azmin bakal berentap untuk merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti. 

Kedua-duanya telah membentuk pasukan masing-masing yang bersaing merebut pelbagai jawatan parti, daripada kepimpinan pusat sehingga ke peringkat cabang parti.

 Rafizi sebelum ini secara terbuka mendedahkan bahawa Azmin pernah pergi berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta supaya pemimpin itu tidak bertanding jawatan Presiden.

Menurut Rafizi, pendedahan tersebut dilakukan untuk menunjukkan ‘belang’ Azmin, selepas rakan-rakannya diherdik kerana mempersoalkan kesetiaan bekas MB Selangor itu terhadap Anwar.

Azmin pula kemudian dalam satu ceramah baru-baru ini meminta ahli parti itu tidak terpengaruh dengan dakwaan liar yang mengatakan beliau tidak setia kepada parti.

Azmin berkata, PKR perlu menjadi parti yang kuat dan pihak tertentu tidak perlu menjadi ‘gunting dalam lipatan’ untuk menjatuhkan sesama sendiri.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut pihak yang dimaksudkannya itu. 

Tambah Azmin, beliau sudah lebih 30 tahun berada dalam parti ketika susah dan senang, justeru beliau tidak sama  mengkhianati parti. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.