Dua Pemimpin Keluar UMNO Kebetulan Atau Dirancang?

KUANTAN: Masih menjadi persoalan sama ada keputusan mendadak Ahli Parlimen UMNO keluar parti Selasa lalu, dirancang awal atau hanya kebetulan.

Setiausaha UMNO Pahang, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar, berkata, tiada siapa daripada parti itu yang mempunyai petunjuk sama ada keputusan keluar parti sudah dirancang awal atau secara kebetulan terutama membabitkan dua Ahli Parlimen UMNO itu.

“Perhimpunan Agung UMNO dijadual berlangsung minggu depan (29 dan 30 September ini) sementara Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan diadakan tidak lama lagi…tiada siapa mengetahui (ia dirancang awal atau secara kebetulan,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang membuat keputusan mendadak keluar daripada parti.

Ab Hamid yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuantan berkata, keputusan mengejut dibuat dua bekas menteri itu akan memberi kesan kepada ahli parti tetapi semua pihak harus menghormati keputusan mereka.

“Keputusan diambil mereka memang mengejutkan ramai pihak…Tok Pa (Mustapa) amat dihormati dan disegani sebagai pemimpin ‘senior’ dalam parti. Bagaimanapun, dua pemimpin ini mempunyai sebab tersendiri terhadap keputusan diambil mereka.

“Ahli UMNO perlu kekal setia dan bersabar dalam keadaan kita diuji masa kini. Banyak khabar angin tersebar (akan lebih ramai pemimpin keluar parti) tetapi ahli parti perlu letakkan kepercayaan terhadap barisan kepimpinan,” katanya.

Sementara itu, Veteran UMNO yang enggan dikenali berkata, sesetengah ahli parti tidak mampu menerima hakikat yang mereka kini adalah pembangkang.

“Selepas menjadi kerajaan dalam tempoh lama mereka tidak boleh menerima hakikat UMNO kini adalah pembangkang dan pemimpin mendapati janggal untuk beroperasi seperti parti politik biasa,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.