Azhar Harun Dilantik Sebagai Pengerusi SPR Yang Baru

SHAH ALAM – Peguam veteran, Azhar Azizan @ Harun dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Ismail juga berkata pelantikan tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Pelantikan Azhar, 56, adalah bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang bersara awal pada 1 Julai lalu.

Azhar merupakan graduan daripada Universiti Malaya dan King’s College, University of London.

Beliau memulakan kerjaya peguam pada 1987 dan telah berkhidmat di beberapa firma guaman ternama dengan kepakaran dalam bidang pilihan raya.

Azhar kini berkhidmat di Tetuan Azhar & Goh sebagai peguam bela dan peguam cara, menurut kenyataan itu.

“Dengan kelayakan dan pengalaman yang ada, saya yakin beliau akan dapat menjalankan tugas, kewajipan dan tanggungjawab sebagai pengerusi SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna,” kata kenyataan itu lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.