Anwar Jelaskan Perasaan Cemburu Lihat Mahathir Jadi PM Hanya Gurauan

PETALING JAYA — Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan “perasaan cemburunya” melihat Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai perdana menteri hanyalah satu gurauan.

Ketua umum PKR berkata kenyataan itu dilapor di luar konteks kerana apa yang ditekankan adalah sebuah kerajaan yang kuat bawah pimpinan perdana menteri, lapor Sinar Harian.

“Saya kata kalau tidak dipenjara, saya nak berada di situ untuk angkat sumpah, sekarang [ketika itu] saya di penjara. Saya bergurau, jadi tajuk berita utama.

“Yang saya ulas tidak diberikan penekanan, ia adalah bahawa peranan kita adalah memastikan kerajaan ini amat kuat di bawah kepimpinan Dr Mahathir untuk menyempurnakan proses perubahan yang amat mendesak,” katanya.

Beberapa media Malaysia hari ini memetik portal Channel News Asia yang melaporkan Anwar menjawab soalan pelajar dalam sesi dialog di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) semalam.

Bekas timbalan perdana menteri tersebut ditanya apa perasaannya ketika menonton siaran langsung majlis angkat sumpah Dr Mahathir pada 10 malam Mei lalu.

Anwar, yang ketika itu masih dalam tempoh tahanan kes liwat, menonton televisyen dari wadnya sewaktu mendapat rawatan di sebuah hospital di Cheras.

“Anda mahu saya bercakap jujur atau sesuai dengan kehendak politik? Dari segi politik, tentunya saya gembira, semua orang teruja. Lihat, Mahathir sedang mengangkat sumpah, satu era baru bagi Malaysia,” katanya kepada pelajar itu.

Tambahnya, Dr Mahathir juga berkata selepas Pakatan Harapan menang, mereka akan segera memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pengampunan penuh kesnya.

“Tetapi saya juga terasa sepatutnya sayalah berdiri di sana,” katanya dengan nada bergurau.

“Saya tidak bohong kepada anda semua, saya memang terlintas mengenainya — sepatutnya saya, bukannya anda [Dr Mahathir],” katanya lagi dengan disambut ketawa hadirin. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.