Ahli Akar Umbi Tolak Azmin, Zuraidah Di Selangor

SHAH ALAM – Pemilihan parti kali ini bakal menyaksikan Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan timbalannya, Zuraida Kamarudin kehilangan sokongan daripada ahli akar umbi parti.

Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Pusat, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, sebahagian besar ahli akar umbi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap dua pemimpin berkenaan yang dilihat gagal mengurus perjalanan parti dengan adil. 

“Tinjauan saya di 22 cabang PKR di Selangor mendapati rata-rata anggota akar umbi menyifatkan Azmin gagal berlaku adil, khususnya dalam pembahagian jawatan lantikan politik.

“Keadaan ini bertambah buruk dengan peranan dimainkan timbalan pengerusi negeri, Zuraida Kamarudin untuk tidak meraikan dan mencantas mereka yang dilihat tidak bersependapat dengan Azmin,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau yang juga merupakan bekas setiausaha AMK Selangor berkata, mereka yang masih menyokong gandingan Azmin dan Zuraida adalah kelompok berkepentingan dan mendapat manfaat langsung, seperti jawatan lantikan politik sedangkan kepimpinan mereka ditolak oleh akar umbi.

“Pemilihan kali ini menyaksikan 20 daripada 22 cabang di Selangor berlaku pertembungan untuk jawatan ketua. Hampir semua penyandang yang pro Azmin dan Zuraida dicabar oleh calon akar umbi.

“Malah ada cabang bertembung hingga 4 penjuru, termasuk jawatan ketua AMK dan ketua Wanita cabang,” tambahnya.

Seramai 800,000 anggota PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan parti itu yang bermula hari ini sehingga 21 Oktober depan.

Pada pemilihan tersebut anggota akan memilih jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua AMK pusat, ketua Wanita pusat dan ahli majlis pimpinan pusat.

Anggota juga akan memilih jawatan pemimpin di peringkat cabang. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.