Ada Tekanan Serta Tawar-Menawar Tarik Ahli Parlimen UMNO

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa semalam mendedahkan banyak tawar-menawar berlaku supaya Ahli Parlimen UMNO menyertai parti lain.

Beliau berkata, terpulang kepada mereka untuk membuat pertimbangan sama ada terus kekal berjuang di dalam parti itu atau meninggalkannya.

“Ahli Parlimen UMNO Bebas kalau mereka mahu menyeberang ke mana-mana (parti). UMNO dan Barisan Nasional merupakan parti tunggal yang tidak membuat surat ikatan dengan wakil rakyat,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Perhimpunan Agung UMNO di sini semalam.

Annuar juga mendakwa ada juga yang keluar parti kerana mempunyai kepentingan perniagaan dengan kerajaan.

“Ada yang keluar kerana mereka beritahu terus terang, mereka ada kepentingan perniagaan dengan kerajaan dan kepentingan itu terlalu besar, maka mereka memikirkan perlu menyelamatkan kepentingan mereka,” katanya.

Dedahnya lagi, terdapat juga yang keluar dari parti itu kerana tertekan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mereka.

Lima Ahli Parlimen UMNO termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli) dan Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) umum keluar parti sejak Barisan Nasional tumbang pada Pilihan Raya Umum pada Mei lepas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.