Video: BERSIH 2.0 Tuntut SPR Perbaharui Sistem Pengundi Luar Kawasan

PETALING JAYA – Bersih 2.0 menuntut agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memperbaharui sistem pengundian luar kawasan bagi membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia serta rakyat Semenanjung Malaysia yang menetap di Sabah dan Sarawak dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Menurut Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, SPR serta kerajaan perlu meminda peraturan bagi membolehkan rakyat dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Bersih melancarkan kempen pembaharuan sistem pengundian luar kawasan dan Bersih menyeru SPR dan kerajaan persekutuan untuk meminda peraturan yang sedia ada untuk membolehkan pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia dan pengundi Semenanjung Malaysia yang menetap di Sabah dan Sarawak untuk didaftarkan sebagai pengundi luar kawasan,”katanya ketika di temui media tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menganggarkan seramai lebih daripada 150 ribu pengundi dari Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia.

Ekoran daripada itu, rakyat yang menetap di luar kawasan terpaksa membelanjakan wang yang banyak hanya untuk pulang mengundi.

“Bersih menganggarkan terdapat lebih daripada 150 ribu pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di semenanjung.

“Dalam setiap pilihanraya, pengundi-pengundi tersebut perlu membelanjakan ratusan ringgit dan mengambil masa untuk pulang dan mengundi di kawasan asal mereka,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa sekiranya perlaksanaan pembaharuan sistem pengundian di luar kawasan ini dilaksana, maka ia akan memberi peluang kepada kerajaan menunjukkan kesungguhan mereka dalam menunaikan hak mengundi rakyat Malaysia.

“Perlaksanaan pengundian luar kawasan bukan sahaja meningkatkan peratusan keluar mengundi malah ia merupakan peluang bagi kerajaan dan SPR untuk menunjukkan bahawa mereka bersungguh untuk menunaikan hak mengundi semua rakyat Malaysia dalam PRU14,”katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.