Sultan Ibrahim Mahu Peralatan Tentera Yang Uzur Ditukar

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mahu segala kelengkapan ketenteraan terutamanya bagi Gerup Gerak Khas (GGK), yang telah uzur ditukar dengan peralatan baharu yang lebih canggih dan sesuai dengan teknologi dan keadaan masa kini.

Baginda bertitah ini bagi memastikan peralatan yang dibekalkan sesuai dan terbaik bagi anggota berkenaan untuk menjalankan tugas mereka sama ada di darat, laut ataupun udara.

Sultan Johor turut mengingatkan pihak yang bertanggungjawab dalam proses perolehan kelengkapan GGK supaya menilai kualiti peralatan yang dibeli dengan betul bagi memastikan kelengkapan itu mengikut spesifikasi ditetapkan dan telah diuji keupayaannya.

“Sebagai contoh, pembekal jaket kalis peluru harus bersedia untuk ditembak bagi membuktikan jaket yang dibekalkan itu betul-betul selamat dan terbukti berkesan. Nyawa setiap anggota komando adalah berharga dan tidak boleh digadaikan oleh pihak yang tidak amanah atau cuba mengambil kesempatan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim selaku Kolonel Komandan GGK bertitah demikian di Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Ke-52 GGK dan Penganugerahan Beret Hijau Kehormat kepada Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim di Kem GGK di sini, hari ini. Turut hadir Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Baginda turut berharap agar setiap anggota komando berusaha meningkatkan kecekapan masing-masing dengan kemahiran ilmu ketenteraan terkini selain berterusan menjalani latihan dan mengekalkan kekuatan fizikal dan mental mereka.
Menurut baginda, ini penting bagi memastikan pasukan itu sentiasa bersedia dalam menjalankan tugasan pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi dengan ancaman pengganas yang semakin berkembang dari dalam dan luar negara.

“Peranan yang dimainkan Gerak Khas sebagai pasukan elit di barisan hadapan adalah amat penting. Dengan ancaman pengganas yang semakin berkembang dari dalam dan luar negara, khidmat kerja anggota Gerak Khas amat diperlukan untuk menyusup masuk dengan cepat dan pantas bagi menghancurkan ancaman musuh,” titah baginda.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.