Polis Dapat Tahu Rancangan Pengganas Di Pesta Arak

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihak polis mendapat tahu wujud rancangan oleh pihak pengganas untuk melakukan sabotaj terhadap penganjuran Better Beer Festival 2017.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh pihak berkuasa itu juga mendedahkan usaha pihak tertentu menimbulkan kekacauan semasa festival itu berlangsung.

“Ini bakal menimbulkan satu situasi keselamatan.

“Bagi mengelakkan sebarang insiden di luar kawalan berlaku, PDRM harus bertindak proaktif dengan mendirikan bantahan terhadap penganjuran festival tersebut demi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat,” katanya dalam kenyataan media.

Pada 18 September lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjur meneruskan acara itu yang dijadual pada 6 dan 7 Oktober depan.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat bantahan pelbagai pihak terutama umat Islam.

Semalam, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau diberitahu ketika mesyuarat kabinet bahawa keputusan DBKL itu dibuat atas faktor keselamatan.

Susulan itu, penganjur Mybeer (M) Sdn Bhd hari ini dilapor mahu bertemu DBKL bagi membentangkan sekali lagi pelan keselamatan mereka.

Sebelum ini empat wakil rakyat DAP dan seorang dari PKR menyifatkan DBKL cuba menjadi jaguh dengan tidak mempedulikan semangat muhibah dan kepelbagaian kaum di negara ini.

PAS pula menerusi naib presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata acara itu tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Manakala Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) Siti Mariah Mahmud pula berkata beliau membantah usaha mempromosikan alkohol yang boleh mendatangkan kesan sosial dan kesihatan yang buruk kepada masyarakat.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.