PAS Bidas Amaran Tutup dan Cadangan Haramkan Sekolah Tahfiz

KUALA LUMPUR – PAS membidas kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malek Kassim yang mahu bertindak menutup premis Maahad Tahfiz yang tidak memenuhi piawaian keselamatan.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, kenyataan berbaur ugutan itu seolah-olah mengambil kesempatan untuk membantutkan pembangunan Islam di negeri itu.

“Sikapnya itu sangat naif, dangkal dan tidak bertamadun untuk dilakukan pihak yang memegang tanggungjawab dan kuasa pentadbiran kerajaan negeri.

“Malah, menjelaskan kedengkian dan permusuhan terhadap perkara berkaitan Islam yang sering ditunjuk kecenderungan itu oleh DAP selaku teraju kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tegas Mohd Yusni lagi, kenyataan Exco Pulau Pinang itu tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan sebenarnya menjurus ke arah menghapuskan institusi tahfiz.

Terdahulu, PAS mengecam kenyataan bekas menteri penerangan yang rapat dengan PPBM, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mencetuskan kontroversi apabila menyarankan sekolah tahfiz diharamkan.

“Saya membaca ratusan komen negatif terhadap institusi pengajian tahfiz dan saranan bekas menteri di zaman Dr Mahathir, Zainuddin Maidin (Zam) sangat menunjal akal saya.

“Zam bekas wartawan yang sangat tegar menentang PAS dan apa sahaja berlatarbelakangkan gerakan Islam,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Riduan Mohamad Nor.

Berita Berkaitan;-

Tangkap Pengetua, Haramkan Sekolah Tahfiz, Kata Zainuddin Maidin

 

Mengulas lanjut, Dr Riduan turut mengimbas kembali sekatan bantuan sekolah agama di zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Zam jangan pernah lupa apa yang berlaku di zaman rejim Mahathir dengan sekatan bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat (SAR).

“Para penggerak SAR termasuk maahad tahfiz berkeringat dan menebalkan muka untuk mencari dana untuk menggerakkan pendidikan Islam ini,” kata Dr Riduan.

Pada 14 September lalu, Zainuddin yang kuat menyokong kempen menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah menulis di Twitter menggesa Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah ditangkap susulan kebakaran yang mengorbankan 23 pelajar dan guru.

“Pengetua Pusat Tahifiz yang terbakar patut ditangkap kerana tak patuh arahan (peraturan keselamatan) DBKL dan BOMBA,” kata penyokong tegar Dr Mahathir itu.

Beliau juga menyelar Menteri Pendidikan kerana tidak mengendahkan saranannya supaya sekolah tahfiz diharamkan.

“Menteri pendidikan tak anggap urgent syor saya supaya sekolah tahfiz diharamkan dahulu sehingga ada standard sistem. Hari ini dia bayar harganya,” ujarnya lagi. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.