Nabil Dipilih Jadi Icon Rumah Ngaji

KUALA LUMPUR – Sejak kali pertama diperkenalkan dengan program Rumah Ngaji yang diusahakan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), selebriti popular, Nabil Ahmad mengakui tersentuh untuk lebih mendekati al-Quran.

Nabil berkata, tahun lalu ada pihak memintanya melakukan promosi untuk program #QuranHour melibatkan selebriti tempatan, namun ketika itu dia sendiri tidak tahu mengenai program tersebut.

“Setelah diberi penerangan, terus-terang saya malu dengan diri sendiri kerana memang saya berhasrat sertai program ini tapi saya tak pandai mengaji,” katanya kepada Sinar Harian.

Menyedari kepentingan itu, beliau mula mencari peluang untuk lebih banyak melibatkan diri dengan program dan acara berasaskan al-Quran.

“Sejak ‘termalu’ dengan diri sendiri, saya mula cari inisiatif belajar.Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan seorang ustaz yang sanggup mengajar saya mengaji di rumah.

“Tapi ia hanya bertahan selama dua bulan kerana jadual saya yang padat, tapi itu bukan alasan saya menjauhi al-Quran,” katanya.

Menurutnya, beliau bersyukur hasrat mahu mendekati al-Quran seakan dipermudahkan selepas pihak Yayasan WUI bersetuju menjalankan kerjasama melalui program Neghori #QuranHour dalam penganjuran Karnival Jom Boli, yang diusahakannya bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan Pusat Zakat Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, kerjasama ini sekali gus membuka laluan untuk saya belajar dan mendekati al-Quran.

“Saya juga anggap tawaran mereka menjadikan saya Ikon Rumah Ngaji Negeri Sembilan sebagai penghargaan yang sangat besar,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai acara tersebut, Nabil berkata, karnival itu diadakan pada 23 sehingga 25 September ini di Menara Mains, Seremban dan turut disertai beberapa selebriti terkenal tanah air.

“Pada 23 dan 24 September ini, pelbagai acara bersesuaian telah disusun sepanjang karnival, antaranya jualan produk-produk halal, konsert nasyid, pameran motosikal berkuasa tinggi, cabutan bertuah dan banyak lagi.

“Manakala pada hari terakhir karnival, ada aktiviti khusus Neghori #QuranHour dan pelancaran My Family #QuranHour 1439H. Saya harap orang ramai ambil peluang memeriahkan program ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan WUI, Marhaini Yusoff berkata, Neghori #QuranHour yang akan dilancarkan pada Karnival Jom Boli itu akan menjadi aktiviti tahunan di Negeri Sembilan.

“Itu bermakna secara rasminya, Nabil adalah selebriti kedua selepas Datuk Rosyam Noor yang turut bersama mendukung program #QuranHour,” katanya.

Menurutnya, fokus Neghori #QuranHour adalah kempen My Family #QuranHour yang memberi penekanan terhadap penyelesaian masalah keluarga berasaskan al-Quran.

“Melalui program ini, kita dapat pelajari bagaimana al-Quran mampu mengukuhkan hubungan kekeluargaan, seterusnya dapat menyelesaikan semua masalah dalam institusi keluarga,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.