Kerusi Parlimen Cameron Highlands Jadi Perhatian

Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini menjadi perhatian. Ia merupakan kerusi milik MIC dan pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Datuk Seri G. Palanivel berjaya menewaskan calon DAP, Manogaran dan tiga lagi calon lain.

Palanivel yang juga bekas presiden MIC itu mendapat undi sebanyak 10,506 dengan majoriti undi 462.

Meskipun majoriti undi hanya 462 namun MIC tidak boleh diperkecilkan kerana ia melibatkan pertandingan lima penjuru.

Mungkin disebabkan itu, maka pada Mac lalu, presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia, (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas membayangkan untuk bertanding di kawasan Parlimen berkenaan yang dikatakan sebagai tempat asalnya.

Kayveas dalam laporan media pada 2 September lalu memberitahu beliau akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) atau sebagai calon bebas pada pru-14 nanti.

“Saya akan bertanding (Cameron Highlands). Saya tidak tahu di bawah tiket apa….Jika BN tidak memberikan tiket, (maka) saya akan bertanding atas tiket sendiri,” katanya sambil menegaskan tidak akan ke mana-mana selain Cameron.

Namun adakah MIC akan melepaskannya? Rasanya tidak.

Presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada bulan lepas pernah menegaskan bahawa parti itu tidak akan membiarkan kerusi Parlimen Cameron Highlands dirampas oleh pihak lain dalam parti komponen Barisan Nasional.

“Kita telah memberitahu kepimpinan Barisan Nasional (BN) bahawa ia (Cameron Highlands) kena dikekalkan sebagai kerusi MIC walaupun ada parti lain yang menunjukkan minat untuk bertanding di situ.

“Jentera pilihan raya MIC juga sudah bergerak di Cameron Highlands dan Sabai dan akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN.

“Saya sudah jelaskan mengenai hal ini kepada kerajaan Pusat dan juga di peringkat negeri Pahang dan saya ingat mereka semua sudah terima (keputusan ini),” katanya seperti yang dipetik dalam laporan Sinar Harian pada 28 Ogos lalu.

Namun siapa pula yang bakal dicalonkan ke kerusi berkenaan oleh MIC? Itu juga jadi tanda tanya. Eloklah diserahkan kepada presiden MIC untuk menentukannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.