Imigresen Dijangka Ambil Alih Seliaan PTS Di Sabah Awal 2018

Jabatan Imigresen dijangka mengambil alih penyeliaan semua pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), awal tahun depan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Ia melibatkan empat PTS di Sabah iaitu PTS Menggatal, Papar, Sandakan dan Tawau.

Katanya, kerajaan pusat dan negeri telah membincangkan perkara itu semasa Mesyuarat Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), yang dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, pada April lepas.

“Pada mula kita menetapkan untuk mengambil alih penyeliaan PTS itu pada 1 November 2016. Namun ada beberapa perkara yang perlu kita bincangkan lagi terutamanya dari segi peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Melafazkan dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Mengenai operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, Mustafar berkata pihaknya sentiasa melaksanakan operasi bersepadu dan sejak Januari hingga Ogos tahun ini, Imigresen Sabah telah mengadakan 1,003 operasi di seluruh Sabah.

“Sepanjang operasi itu sebanyak 29,058 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu 3,277 telah ditahan. Sepanjang operasi itu kita juga telah menahan 68 majikan.

Sepanjang tempoh itu, beberapa pendakwaan telah dibuat dan lebih RM5 juta kompaun telah dikutip daripada PATI dan majikan,” katanya.

Mustafar juga berkata sejak Januari sehingga hari ini, seramai 8,450 PATI telah diusir dan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Terdahulu dalam majlis itu, pegawai dan kakitangan Imigresen Sabah yang diketuai pengarahnya Musa Sulaiman telah melafazkan dan menandatangani IBR sambil disaksikan oleh Mustafar dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi.

Semasa berucap di majlis itu, Sazali berkata ia menunjukkan komitmen Imigresen Sabah untuk membantu dan monyokong SPRM dalam usaha membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa di negeri ini.

 

“Ini menunjukkan keseriusan jabatan berkenaan untuk menyokong usaha SPRM menangani aktiviti rasuah. Namun saya ingatkan agar lafaz ikrar ini tidak hanya di mulut sahaja…tetapi ia perlu dipraktikkan untuk memastikan integriti di jabatan itu terus kukuh,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, 56 jabatan dan agensi di Sabah telah mengadakan IBR.

Katanya jumlah itu menunjukkan jabatan dan agensi di Sabah telah menunjukkan tanggungjawab yang tinggi untuk membantu membanteras rasuah dan salah guna kuasa di jabatan masing-masing.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.