Ayda Nafi Berlagak Diva

DEMAM Akademi Fantasi (AF) kembali melanda peminat muzik tempatan apabila munculnya AF Megastar yang menghimpunkan bekas peserta program realiti popular dari 2003 hingga 2016 lalu.

Sebagai salah seorang bekas peserta AF musim ke-9 (2011), penyanyi dan pelakon Ayda Jebat juga tidak terlepas daripada menerima tawaran untuk menyertai AF Megastar. Pun begitu, pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini memilih untuk menolak tawaran yang diberikan.

 

Bukan mahu berlagak kerana namanya kini berada di puncak populariti sebaliknya gadis berusia 25 tahun ini mempunyai niat murni.

Menurut Ayda, dia mahu memberi peluang kepada bakat-bakat AF yang lain, sekali gus berkongsi rezeki dengan mereka.

“Saya ada menerima tawaran daripada pihak Astro untuk turut sama menyertai AF Megastar kali ini. Namun saya telah menolak tawaran tersebut. Keputusan ini dibuat bukan kerana menganggap diri saya sebagai seorang diva tetapi saya ada alasan tersendiri.

“Sebenarnya saya ingin memberi peluang atau tempat yang ditawarkan itu kepada peserta yang lebih berhak. Mungkin penyertaan mereka boleh dijadikan sebagai platform untuk mengembangkan lagi kerjaya seni masing-masing.

“Mungkin juga dengan peluang ini, mereka dapat berkongsi hadiah dan wang yang diperoleh dengan ahli keluarga. Itulah rezeki yang saya maksudkan.

“Bagi saya, rezeki yang saya dapat sekarang ini sudah cukup jadi inilah masanya untuk saya buka jalan rezeki kepada orang lain pula,” jelas Ayda yang kini muncul dengan lagu baharu berduet dengan Adi Priyo, Pinjamkan Hatiku.

Membuka cerita tentang lagu baharu, itu merupakan pengalaman pertama pelakon yang mula mendapat perhatian selepas membintangi drama Rindu Awak 200% apabila merakamkan lagu berentak balada.

Menyifatkan genre perlahan seperti itu tidak sukar, Ayda menjadikan pengalamannya menyanyikan lagu balada sebelum bergelar penyanyi sebagai sumber rujukan sewaktu berada di dalam studio rakaman.

Dalam soal itu juga, Ayda akui bukan mudah untuk mendapat kepercayaan peminatnya yang selama ini dihidangkan dengan lagu rancak.

Namun itu bukan halangan untuk gadis genit ini mencuba sesuatu yang baharu.

“Sebelum menyertai AF, saya sering menyanyikan lagu-lagu balada. Sampaikan ketika diberikan lagu pertama saya, Siapa Diriku, saya tidak yakin untuk merakamkannya.

“Siapa sangka lagu tersebut menerima sambutan hangat dan sejak itu, saya hanya diberikan lagu-lagu berirama yang sama.

“Selama itu juga saya tidak diberi peluang untuk menyanyikan lagu balada sehinggalah saya menerima tawaran untuk menyanyikan lagu runut bunyi filem Pinjamkan Hatiku ini.

“Saya bersyukur kerana tidak berdepan cabaran sepanjang proses rakaman kerana saya tahu jalan cerita lagu tersebut selain pengalaman menyanyikan lagu balada sebelum ini.

“Bagi saya, ingin membiasakan peminat dengan irama baharu ini lebih susah berbanding melalui proses rakamannya.

“Pun begitu, semuanya dipermudah selepas lagu ini diperdengar kepada umum,” ujarnya.

Masa untuk rehat

Baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama baharunya yang berjudul Dekatkan Jarak Kita selain melancarkan lagu dan filem Pinjamkan Hatiku yang bakal menemui penonton pada 30 November ini, Ayda kini mengambil keputusan untuk berehat seketika.

Menurut penyanyi lagu Mata ini, sepanjang tempoh berehat dia hanya ingin memberi tumpuan terhadap rangka promosi filem tersebut sahaja. Sementara jadual penggambaran akan disambung pada tahun hadapan.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini saya sangat sibuk dengan penggambaran drama, filem, rakaman lagu dan persembahan. Baru-baru ini, saya menyelesaikan penggambaran drama bersiri dan melancarkan runut bunyi dan filem pertama saya.

“Oleh sebab semuanya berjalan seperti yang dirancang, saya mengambil keputusan untuk bercuti dan berehat seketika daripada sebarang penggambaran sehingga penghujung tahun ini.

“Jadual saya sepanjang tempoh rehat itu hanya dipenuhi dengan rangka promosi lagu dan filem sahaja. Saya akan menyambung kerja sebagai pelakon bermula pada awal tahun hadapan.

“Terdapat beberapa buah drama dan filem yang menanti saya,” katanya.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.