Warisan Mahathir Terkubur Selepas Bergabung Dengan Anwar – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Kerjasama politik Tun Dr Mahathir bersama bekas timbalannya yang dipecat 18 tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan merosakkan segala reputasi yang dibina diperingkat tempatan mahupun antarabangsa.

 

Penganalisis politik, Dr Baharuddin Aziz Ibrahim berkata, reputasi buruk Anwar diperingkat antarabangsa akan merosakkan imej Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berumur 91 tahun itu.

 

“Saya amat kesallah kalau saya lihat kepimpinan Tun Dr Mahathir. Orang sudah mula kesian kepada dia. Beliau sepatutnya jadi negarawan di peringkat dunia, yang boleh menyelesaikan masalah-masalah di peringkat antarabangsa kerana peringkat antarabangsa memang menghormati beliau.

 

“Tetapi apa yang beliau lakukan(kerjasama dengan Anwar) hanya merosakkan warisan ataupun legasi beliau sendiri,” ujarnya dipetik Antarapos.

 

Katanya, Anwar dimata antarabangsa dilihat sebagai punca kepada ketidakstabilan sosioekonomi Malaysia termasuk kepada punca pergolakan reformasi tahun 1998.

 

“Lebih-lebih lagi, bekas ketua pembangkang itu pernah menjadi berita utama seluruh dunia kerana menjadi punca negara berada dalam keadaan huru-hara ketika himpunan reformasi 1998, tambah Baharuddin.

 

“Dari sudut etika, saya lihat dari sudut etika, ini sepatutnya tidak berlaku. kalau parti bersatu berjuang atas prinsip-prinsip tertentu,ia tidak perlu mengundang kerjasama dengan saudara Anwar Ibrahim. Kalau kita lihat sejarah belasan tahun dahulu, negara kucar-kacir (disebabkan Anwar),” katanya.

 

Dr Mahathir sebelum ini mengumumkan tiada masalah untuk menjalin semula kerjasama dengan Anwar selepas keduanya tidak bersua muka sejak 1998 dan menjadi seteru politik semenjak itu.

 

Kenyataan bekas Perdana Menteri itu dikeluarkan beberapa hari selepas kehadirannya pada prosiding Anwar mengemukakan permohonan bagi pembatalan Akta Majlis Keselamatan Dalam Negara (MKN) 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

 

Kata Dr Mahathir, beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Anwar sepertimana beliau tiada masalah bekerjasama dengan Lim Kit Siang yang juga pernah menjadi musuhnya sepanjang beliau bersama UMNO.

 

Dr Mahathir kini bersama blok pembangkang menerusi PPBM cuba mendapatkan seberapa banyak sokongan anti-kerajaan dalam agendanya untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. – MDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.